Khairy bersama barisan penyiar audio yang akan menjayakan KL PodFest 2024. Foto Sadiq Sani
Khairy bersama barisan penyiar audio yang akan menjayakan KL PodFest 2024. Foto Sadiq Sani
Najiy Jefri


Petaling Jaya: Susulan kejayaan poscast Keluar Sekejap (KS) yang berjaya meraih lebih 241,000 pelanggan (subscriber) dalam tempoh kurang setahun, pengendalinya juga bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan bakal menganjurkan festival audio siar pertama di Malaysia tahun depan.

Festival yang dinamakan Kuala Lumpur (KL) PodFest 2024 itu dijangka berlangsung selama dua hari pada 3 dan 4 Februari tahun depan dengan kerjasama bersama Media Prima Berhad (MPB), Khairy berkata, buat julung kalinya KS selaku penganjur bakal menghimpunkan barisan 'podcaster' terbaik dari Malaysia dan Singapura selain lebih 20 sesi akan diadakan merangkumi sesi rakaman langsung, bengkel, dan aktiviti menarik.

"Industri podcast sudah semakin meluas sekali gus menjadi pasaran idea dinamik dan berjaya mengukuhkan kedudukannya dalam industri penyiaran.

"Bekerjasama dengan MPB menerusi pesta audio siar ini akan menguatkan platform dan bakat kami, memberikan kesedaran yang lebih luas kepada orang ramai termasuk mereka yang tidak menggunakan kandungan dalam medium ini," katanya.

KL PodFest 2024 bakal menjadi platform terbaik untuk pencipta mempamerkan perspektif, cerita dan bakat unik 'podcaster' selain permintaan yang semakin tinggi.

Acara itu mampu memupuk kreativiti, dialog silang budaya, dan peluang ekonomi, di samping menarik peserta dan penonton antarabangsa.

Menurut Khairy, acara itu juga mampu merapatkan ukhwah di antara 'podcaster' dan pendengar termasuk menarik minat pendengar baharu.

"Tiada genre yang tertinggal kerana kami mengalu-alukan semua topik daripada hal ehwal semasa, gaya hidup, sukan dan banyak lagi," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media KL PodFest 2024 di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), di sini, pagi tadi.

Turut hadir pada sidang media itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Dalam pada itu, Nazri yang turut bertindak sebagai presiden Radio Komersial Malaysia (CRM) berkata, pihaknya percaya kerjasama dengan pesta audio siar itu adalah sinergi yang mampu membawa dunia podcast ke peringkat yang lebih tinggi.

"Perjalanan kami dengan podcast menerusi platform Audio+ dan laman web rasmi kami, merangkumi lebih 148 judul yang terdiri pelbagai bahasa dan topik. Ia mencerminkan komitmen kami terhadap medium yang sedang berkembang ini.

"Podcast juga bukan satu benda baharu dalam dunia penyiaran radio dan kita boleh lihat bagaimana dua perkara ini berkaitan. Kami nampak podcast mempunyai potensi untuk berkembang dan semakin ramai yang mahu mendengar.

"Jadi kami di MPB percaya KL PodFest 2024 bukan sekadar acara yang menghimpunkan barisan 'poscaster' sahaja, malah satu anjakan penting dalam perjalanan kami," katanya.

Tiket akan mula dijual bermula 1 Disember ini dengan harga bermula RM30 hingga RM60. Antara podcast yang akan terbabit pada festival itu nanti adalah Tiber, Malam Seram, Financial Faiz, OKLETSGO, Mr Money TV, SneakerLAH, Mamak Sessions by Jinnyboy, The Amin Idris Show, TTYL, Head Over Heels by Maggy Wang, Balls Deep by The Takeaway, Table Talk by The Takeaway dan Ajar.

Barisan podcast dan jadual penuh akan diumumkan pada 15 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 2:49 PM