MPB menerima kunjungan delegasi daripada Unimas di Sri Pentas. FOTO Aswadi Alias
MPB menerima kunjungan delegasi daripada Unimas di Sri Pentas. FOTO Aswadi Alias
Natrah Laili Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (MPB) menerima kunjungan delegasi daripada Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) untuk menjalin hubungan dan kerjasama dalam pengurusan korporat.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, MPB berharap hubungan yang terjalin antara dua organisasi ini akan mencapai manfaat demi kebaikan bersama.

"Pada 2019, MPB bersama Unimas menganjurkan Festival Drama untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang penyiaran dan hiburan. Ia kolaborasi pertama yang bermakna. Namun, disebabkan Covid-19, kolaborasi itu terhenti selama dua tahun.

"MPB berharap menerusi kunjungan Unimas hari ini dapat mengenal pasti kerjasama dalam bidang yang berpotensi yang boleh membawa manfaat kepada kedua pihak," katanya ketika berucap di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor Unimas Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Penolong Naib Canselor Datu Mohd Fadzil Abd Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio Nazri Noran dan Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia Mohd Efendi Omar.

Sementara itu, Mohamad Kadim berkata, pihaknya berusaha mendedahkan Unimas dalam program akademik, penyelidikan dan pengurusan korporat dengan bantuan MPB.

"Besar harapan kami sebagai universiti berjenama global, kami mahu menjalinkan hubungan bersama pihak korporat supaya dapat membantu industri dan negara.

"Di Unimas, kami ada fakulti seni kreatif yang menghasilkan animasi serta pihak yang bertanggungjawab dalam menghasilkan filem. Itu adalah kerjasama yang boleh dijalinkan bersama MPB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2022 @ 3:15 PM