Persembahan Aina Abdul curi tumpuan.
Persembahan Aina Abdul curi tumpuan.
Najiy Jefri


KONSERT A Night With Aina Abdul 2.0 yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi melakar satu pencapaian baharu dalam karier seni Aina Abdul.

Siapa sangka, penyanyi berusia 29 tahun itu berjaya mengadakan sebuah konsert yang cukup luar biasa dan meninggalkan memori indah buat peminat setia serta penonton yang hadir.

Aina yang ditemui usai malam pertama konsert berkata, dia berasa puas dan bersyukur apabila segala penat lelah yang diharungi bagi menjayakan konsert terbabit berjalan dengan lancar.

"Mungkin ada yang menganggap perancangan saya untuk mengadakan konsert adalah tidak masuk akal. Namun demi merealisasikan konsert ini saya kena hadiri banyak mesyuarat yang memang tidak biasa saya lakukan sebagai seorang penyanyi. 

"Saya bukanlah seorang yang tahu bercakap mengenai perniagaan atau kewangan. Tapi saya cuba belajar dan bersyukur apabila konsert ini menjadi lebih baik dari apa yang dirancang. 

"Rujukan di YouTube dan melihat persembahan penyanyi antarabangsa membantu memberi idea terutama ketika menukar baju dalam tempoh yang singkat," katanya.

Menurut Aina, perjalanan menuju konsert terbabit tidak semudah yang disangka apabila banyak isu lain yang tidak berkaitan diperkatakan mengenai dirinya hingga berasa  tertekan.

"Cabaran terbesar yang saya rasakan adalah apabila menjelang konsert orang bercakap tentang perkara tidak berkaitan. Itu membuatkan saya penat. Mungkin salah saya sendiri kerana banyak membaca komen-komen di media sosial sehingga memberi kesan kepada saya.

"Saya sendiri tidak ingat berapa kali menangis setiap kali mengadakan perjumpaan bersama pasukan saya untuk konsert ini. Bagaimanapun pengurus saya ingatkan supaya kurangkan masa dengan sosial media dalam tempoh seminggu sebelum konsert.

"Saya rasa amat lega dapat lepaskan segala kekecewaan dalam semua lagu yang disampaikan pada konsert ini. Saya harap penonton berasa puas dan 'enjoy' dengan persembahan saya," katanya.

Tidak lengkap temubual bersama Aina jika tidak ditanya mengenai penampilannya yang sentiasa mempunyai maksud tersendiri dan juga bersifat ekstravaganza.

Menerusi konsert terbabit, Aina mengenakan tiga persalinan berbeza sepanjang dua jam konsert berlangsung dan salah satunya direka oleh Melinda Looi yang menggunakan rambut sebenar.

"Kesemua baju yang saya pakai ada cerita tersendiri. Salah satu daripadanya diperbuat dari 150 helai rambut betul dan direka oleh Melinda Looi. 

"Baju yang dipakai memang berat namun selesa di pakai. Sejak awal saya sudah berbincang untuk tampil dengan baju yang diperbuat dari material yang jarang digunakan," katanya.

Pada konsert terbabit Aina menyanyikan hampir 26 buah lagu. Antaranya Sepi, Semalam, Sumpah, Nada Kalbu, Terus Hidup, Kelip-Kelip dan Maybe.

Aina juga menyanyikan lagu terkenal seperti Mengapa, Listen, Cinta Sejati, Pengako Sa Yo dan banyak lagi. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 1:49 PM