Nazri Noran (dua, kanan), bersama Penyampai Radio Hot FM ketika Majlis doa selamat sempena Hot FM Stesen Radio No 1 di Malaysia. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Nazri Noran (dua, kanan), bersama Penyampai Radio Hot FM ketika Majlis doa selamat sempena Hot FM Stesen Radio No 1 di Malaysia. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Stesen radio milik Media Prima Audio (MPA), Hot FM berjaya mempertahankan kedudukan sebagai stesen radio nombor satu di Malaysia apabila mencatatkan jumlah pendengar sebanyak 3.73 juta.

Menerusi kaji selidik Nielsen Consumer and Media View (CMV) yang dijalankan pada Julai 2022 sehingga Jun tahun ini, Hot FM sebagai radio berbahasa Melayu terus cemerlang menjadi pilihan pendengar di negara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPA, Nazri Noran, Hot FM sentiasa membuat pembaharuan dan mencari idea baharu untuk menarik hati pendengar serta bukan satu tugas mudah untuk mempertahankan kedudukan terbabit.

"Seperti yang anda tahu, di Malaysia kita mempunyai terlalu banyak stesen radio. Kami mengambil peluang dan ruang yang ada untuk sentiasa mengikuti trend terkini, memahami kehendak pendengar dan memberikan pengalaman penyiaran yang unik dan berbeza dari stesen radio yang lain.

"Kami bukan sahaja perlu fikir bagaimana untuk mendapatkan bakat atau memainkan lagu-lagu yang terbaik walaupun kedua aspek ini juga penting. Cuma sekarang, kami perlu fikir bagaimana untuk kekal relevan dalam industri radio tempatan.

"Dunia penyiaran radio di negara ini sangat dinamik, jadi satu cabaran kepada kami untuk pastikan pendengar terus setia mendengarkan Hot FM. Kami akan terus berusaha untuk menjadi yang pertama dalam berkongsi maklumat relevan dan bersesuaian dengan demografi pendengar Hot FM iaitu 18 tahun ke atas.

"Saya juga harus berikan kredit kepada pasukan belakang tabir seperti penulis skrip, penerbit, pengarah kandungan, pengarah muzik termasuk beberapa pasukan lain yang sentiasa memainkan peranan penting untuk mendapatkan info-info terkini dalam menghasilkan satu produk yang bermutu," katanya.

Nazri Noran (tengah), bersama KJ menyampaikan sumbangan kepada Kanak-Kanak daripada Rumah Cahaya Kasih, Kota Damansara. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Nazri Noran (tengah), bersama KJ menyampaikan sumbangan kepada Kanak-Kanak daripada Rumah Cahaya Kasih, Kota Damansara. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Pelbagai kempen dan pembaharuan dilakukan Hot FM dalam mengekalkan kedudukannya itu seperti program Hot Hulur Wang Sama Pendengar (HWSP) yang mana pemenang dapat membawa wang tunai sebanyak RM300,000, Anugerah TerHot, Last Beat Hot FM, Piknik Hot di beberapa tempat dan pelbagai kempen lain.

Lebih menarik, pada 26 Oktober lalu, Hot FM mengambil inisiatif dengan memperkenalkan gandingan baharu untuk penyampai segmen HotFlix, Ayu bersama deejay radio AI (kecerdasan buatan) pertama berbahasa Melayu, dikenali sebagai Aidil Fikri.

Ditanya mengenai faktor kekuatan dan kejayaan Hot FM dalam mengekalkan kedudukannya, Nazri berkata, kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atau mesra disapa KJ sebagai penyampai segmen Bekpes Hot bersama Johan, AG dan Fara Fauzana sejak 15 Februari lalu memberi nafas baharu kepada pendengar di Hot FM.

"Kami menerima pelbagai maklum balas positif daripada pendengar sebaik memperkenalkan KJ sebagai rakan penyampai di Hot FM. Rata-rata mahu mendengarkan input yang beliau ingin perkatakan ketika menggalas tugas itu.

"Sebenarnya, ketika KJ bersetuju dengan lamaran di Hot FM, kami harapkan kalau beliau dapat bersama kami untuk satu minggu pun jadilah. Tapi tak sangka, sampai sekarang beliau masih bersama dengan kami sehingga Disember ini. Jadi, untuk selepas itu kalau beliau mahu teruskan, kami sangat alu-alukan," katanya.

Semalam Hot FM menganjurkan majlis doa selamat bagi meluahkan rasa syukur mengenai keputusan tinjauan terbabit dan sebagai tanda terima kasih kepada pendengar dengan membawa anak-anak yatim daripada Rumah Cahaya Kasih Kota Damansara bersama-sama untuk memeriahkan majlis.

Turut hadir barisan penyampai radio Hot FM antaranya KJ, Fara Fauzana, AG, Keymi, Aisha serta Ayu.

Acara itu turut dimeriahkan dengan penampilan artis tanah air seperti Alif Satar, Faizal Tahir, Amir Masdi, Amin Idris, Fakhrul UNIC dan Killa Driz.

Bukan itu sahaja, pihak MPA juga mengambil inisiatif dan peluang itu untuk memanjatkan doa kepada saudara di Palestin yang sedang berjuang dengan membuka ruang kepada pendengar yang ingin menghulurkan sumbangan di Bank Muamalat 1410 0008 844715 (Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima).

Dalam pada itu, stesen radio Fly FM juga menunjukkan lonjakan yang positif apabila terus mengekalkan prestasinya dengan menjadi stesen radio nombor dua berbahasa Inggeris di Malaysia dengan jumlah pendengar sebanyak 2.11 juta setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 12:11 PM