Dr Ahmad Idham
Dr Ahmad Idham
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pengarah dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri memohon agar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib untuk melihat semula usaha yang pernah dilakukannya ketika menyandang posisi sama di perbadanan itu.

Idham berkata, selepas menamatkan perkhidmatan di Finas, banyak perancangan dan usaha yang dilakukan untuk memajukan industri kreatif, dihentikan oleh perbadanan itu.

"Saya mengenali Datuk Azmir ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu dan saya percaya, dia boleh menjalankan tugasnya memandangkan dia pernah menjadi Timbalan Ketua Pengarah Finas.

"Kita kena bagi peluang kepada dia. Harapan saya, tengok-tengok balik, apa yang sudah saya tinggalkan untuk bantu industri kreatif. Selepas saya, banyak usaha-usaha saya yang sudah dihentikan," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Idham, Azmir dan Finas boleh mewujudkan legasi baharu tanpa melupakan usaha-usaha yang sudah membuahkan hasil.

"Hari ini, ramai orang-orang dalam industri sudah mula bersuara. Mereka tanya, kenapa Finas tak sama seperti zaman saya. Jadi, saya tak minta untuk masuk balik (ke Finas), tetapi, minta mereka yang berada di dalam Finas untuk 'jeling-jeling' balik usaha saya.

"Dua tahun setengah saya di dalam Finas, saya dah merangka tindak (blueprint) banyak perkara antaranya, menyemak semula akta dan sebagainya. Sebab itulah saya minta dia 'jeling' balik.

"Sebelum nak wujudkan legasi baharu, jangan terlepas pandang benda-benda yang sudah terbukti berjaya. Keutamaan kita adalah untuk memajukan industri kreatif ini," katanya.

Terdahulu, Idham pernah menggalas tanggungjawab sebagai CEO Finas pada 14 Mac 2019 dan meletak jawatan pada 9 Disember 2019.

Pada 5 Jun 2020, Idham kembali semula ke perbadanan itu dan menamatkan kontraknya pada 9 September 2021.

Finas menerusi kenyataan media mengumumkan perlantikan Azmir sebagai CEO baharu dan berkuat kuasa pada 1 November lalu sehingga 31 Oktober 2025.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2023 @ 3:03 PM