Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri menyatakan hasrat meletak jawatan dalam mesyuarat Ahli Lembaga pada Khamis lalu.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid berkata dia menghormati keputusan dibuat Ahmad Idham itu dan sedia melepaskan serta menyokong perjalanan kariernya yang mendatang.

"Ahli Lembaga bersetuju untuk melepaskan dan menyokong penuh perjalanan karier beliau seterusnya nanti. Surat keputusan itu akan segera dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

"Kami di Finas, tentu akan rasa kehilangannya. Apalagi sudah berjuang sama-sama sewaktu musim pandemik dalam menggerakkan dan pembangunan industri kreatif," katanya.

Pada masa sama, Zakaria berkata Finas tumpang gembira kerana Ahmad Idham bakal beralih ke kementerian. 

"Kami melihat peralihannya ke tahap itu mampu membuka ruang untuk industri kreatif melakukan anjakan lebih besar. Terutama, mengembangkan industri kreatif ke peringkat global.

"Semestinya kami harapkan yang terbaik buat beliau. Semoga Ahmad Idham juga terus melaksanakan tugasan baharu dengan cemerlang," katanya.

Terdahulu, timbul juga dakwaan Ahmad Idham bakal memulakan tugasan baharu di sebuah kementerian bertaraf diplomat. Ia masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya untuk peringkat global.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 6:45 PM