AHMAD Idham Ahmad Nadzri. FOTO arkib NSTP
AHMAD Idham Ahmad Nadzri. FOTO arkib NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) kini diisi sementara oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Finas, Rozita Waty Ridzuan selepas peletakan jawatan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkuat kuasa hari ini.

Rozita Waty akan memangku jawatan itu berkuat kuasa esok.

Finas dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Ahmad Idham atas segala sumbangan dan jasanya.

Katanya, sepanjang tempoh kepimpinan Ahmad Idham, pelbagai usaha sudah dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan sektor industri seni dan kreatif dalam mendepani cabaran penularan pandemik Covid-19.

"Dalam bersedih, kami tetap gembira dengan lonjakan kerjaya Ahmad Idham. Apa yang dilihat, ia membuka ruang lebih besar untuk Ahmad Idham mengembangkan industri kreatif ke peringkat global. "Kami mengharapkan Ahmad Idham dapat melaksanakan tugasan baharu dengan lebih cemerlang. Terlalu banyak agenda dirancang dan dilaksanakan.

"Walaupun antaranya masih tertangguh dan baru hendak bermula disebabkan penularan serta peningkatan kes Covid-19," kata kenyataan itu.

Antaranya adalah menerusi Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana), Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP) dan inisiatif kebajikan penggiat industri kreatif.

Ahmad Idham sudah menyatakan hasrat meletak jawatan dalam mesyuarat Ahli Lembaga pada September lalu.

Dalam pada itu, Ahli Perbadanan Finas tetap gembira kerana Ahmad Idham beralih ke kementerian yang membuka ruang untuk industri kreatif melakukan anjakan lebih besar.

Difahamkan, tugasan baharu Ahmad Idham masih berkaitan dunia seni, kreatif dan budaya. Namun, tugasan lebih mencabar apabila membawa budaya, muzik dan filem ke mata dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 4:52 PM