TEATER Ghaib tonjol kisah politik dan kekeluargaan.
TEATER Ghaib tonjol kisah politik dan kekeluargaan.
Georgie Joseph


MENGISI acara Selective Stage tahun ini, sebuah pementasan teater hasil karya Faisal Tehrani dipersembahkan di Panggung Eksperimen, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sebuah naskhah yang cukup menarik, Faisal berkata perjalanan menghasilkan karya itu pun agak mencabar. Bukan setakat menampilkan cerita berat, ia diinspirasikan daripada kisah politik lama dan baharu.

Bagaimanapun, ia digambarkan dalam sebuah situasi yang berlaku dalam institusi kekeluargaan. Plot penceritaannya digarap dengan lebih realistik demi menghidupkan pementasan itu.

"Ghaib adalah mengenai pertelingkahan kuasa, penyelewengan, rasuah, gambaran krisis politik masa kini. Saya menulis naskhah ini berpandukan bacaan terhadap kisah politik lama yang berlaku dalam negara kita.

"Sudah lama rasanya refleksi suasana politik, drama berat sosio politik tidak dibuat. Karya ini saya mula tulis waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dulu ketika kita semua terkurung.

"Selepas menulis sebahagian daripadanya, saya juga terpaksa tinggalkan sekejap kerana tidak mampu sambung ketika itu. Selepas ambil masa, barulah kembali sentuh naskhah itu," katanya.

Memegang amanah sebagai pengarah, Fasyali Fadzly akui bekerja-keras mengerah keringat dan idea terbaik sepanjang latihan. Ini kerana dia perlu kekalkan keaslian karya itu dan pada masa sama perhalusi jalan ceritanya.

"Banyak dialog bertelingkah, sampuk menyampuk dalam teater ini. Sewaktu raptai, berbeza dengan teater-teater lain, pelakon kena benar-benar peka dan sambut tepat sahutan dialog.

"Untuk lebih memperhalusinya, saya turut berbincang dengan Faisal mengenai bahasa tinggi, dialog bahasa dalam buku bagi meminta kebenaran menyunting skripnya agar sedap 'dikunyah' pelakon.

"Hakikatnya, saya amat berhati-hati sunting kerana tak nak hilangkan keaslian. Tapi saya masih simpan frasa kurang didengari, kekalkan supaya dapat didengar penonton dan boleh digunakan dalam kamus bahasa mereka kelak," katanya.

Fasyali juga akui waktu raptai menjelang pementasan sebenar agak pendek tapi guna sebaik-baiknya masa mereka. Paling penting, dia ingin jaga intergriti, meringankan cerita sesuai untuk semua penonton,

JUN Lojong kembali beraksi teater selepas lebih 16 tahun berehat.
JUN Lojong kembali beraksi teater selepas lebih 16 tahun berehat.

"Daripada babak awal pun akan penonton akan sudah boleh faham. Ceritanya sangat kontemporari, mudah dikaitkan, serta gambarkan atmosfera keluarga. Apapun, saya tidak lepaskan lapis-lapis penting dan beri kebebasan untuk pelakon tunjuk warna lakonan mereka," katanya.

Lebih menarik, teater itu turut menampilkan pelakon hebat Jun Lojong sebagai teraju utama. Selepas meninggalkan pentas teater hampir dua dekad, dia terbuka hati menerima tawaran itu.

"Mulanya saya berat hati terima tawaran itu tapi bila dapat tahu skripnya tulisan Faisal, ia umpama rasa panggilan untuk keluar dan belajar semula, asah diri lagi, rasa belajar dari sifar.

"Saya melakonkan watak Qoimah, isteri ada anak-anak dan mak yang keras hati. Ada sesuatu dalam fikiran terpendam tapi orang tak tahu. Memang rasa ketakutan juga selepas 16 tahun tak beraksi teater yang skripnya bahasa tinggi, macam cari penyakit," katanya.

Selain Jun, Ghaib turut dibintangi pelakon meningkat naik Zera Hariz, Fadhli Masoot, Nesa Idrus, Kirin Muhamad, dan Saiful Wazein.

Teater ini akan dipersembahkan jam 8.30 malam bermula Khamis hingga Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 September 2022 @ 6:30 AM