KHAI Bahar ketika sidang media konsert yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik Petronas. FOTO Aziah Azmee
KHAI Bahar ketika sidang media konsert yang bakal diadakan di Dewan Filharmonik Petronas. FOTO Aziah Azmee
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Hasrat penyanyi Khai Bahar untuk membawa kedua ibu bapanya ke Konsert Solo di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 11 November depan tidak kesampaian kerana keadaan kesihatan mereka yang tidak mengizinkan.

Biarpun tidak dapat hadir kerana menjalani rawatan di Perlis, doa ibu bapa Khai bakal mengiringi persembahannya di konsert ketiganya itu.

"Ini adalah impian yang sudah lama saya nantikan, cuma sedih kerana tidak dapat disaksikan oleh ibu bapa saya. Keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan mereka untuk hadir pada malam itu nanti.

"Konsert ketiga ini adalah lakaran indah dalam portfolio saya sebagai penyanyi. Bukan mudah untuk tersenarai sebagai penyanyi yang bakal membuat persembahan di pentas berprestij ini, oleh itu saya tidak akan mensia-siakannya.

"Seperti semua sedia maklum, saya rapat dengan ibu cuma keadaan kesihatannya memang kurang baik ketika ini. Jadi, dia mendoakan agar segala yang direncana dipermudahkan. Bagi saya, doa itu sudah mencukupi.

"Bukan ibu saja, malah kesihatan bapa saya juga kurang mengizinkan. Sebagai anak, pastinya saya mahu mereka melihat pencapaian saya sebagai penyanyi, namun saya akur dengan perancangan Allah SWT," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media sempena Konsert Solo Khai Bahar.

Berkongsi lanjut mengenai konsert berkenaan, Khai bakal mempersembahkan 15 buah lagu daripada pelbagai genre khas buat penonton yang hadir pada malam itu.

Khai bakal menyertai senarai artis tempatan yang diberi peluang membuat konsert solo di DFP selepas Yuna, Najwa, Aizat, Hafiz, Faizal Tahir, Hujan, Ruffedge, Exists, Kugiran Masdo, Noryn Aziz dan Dayang Nurfaizah.

Untuk konsert sulungnya di DFP ini, Khai bakal membawakan lagu-lagu popularnya dan seleksi lagu-lagu yang bakal menjadi kejutan untuk peminat-peminat yang hadir pada malam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2023 @ 11:53 AM