Putri Ariani
Putri Ariani
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Peserta program America's Got Talent 2023 (AGT2023), Putri Ariani diumumkan sebagai pemenang tempat keempat program itu.

Kekecewaan jelas terpancar di wajah juri, Simon Cowell saat keputusan kedudukan peserta dari Indonesia itu diumumkan pengacara, Terry Crews.

Juri, Sofia Vergara yang duduk di sebelah Cowell juga turut kelihatan terkejut dan memegang bahu Cowell. "Apa pun, ini adalah pertandingan. Tapi, biar saya beritahu kamu sesuatu, Putri. Tak ada orang boleh menafikan hakikat bahawa kamu adalah penyanyi yang sangat-sangat hebat.

"Berapa ramai penyanyi yang muncul di pentas ini yang berjaya dalam kerjaya mereka dan saya percaya, perkara sama akan berlaku kepada kamu.

"Kamu umpama sebutir berlian," katanya.

Di pentas sama yang berlangsung di Amerika Syarikat, peserta Adrian Stoica and Hurricane diumumkan sebagai juara AGT2023. Tempat kedua dimenangi oleh ahli silap mata, Anna DeGuzman manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh kumpulan penari, Murmuration.

Putri atau nama sebenarnya, Ariani Nisma Putri, 17, tampil memberikan persembahan memukau menerusi lagu Run, duet bersama penyanyi, Leona Lewis.

"Dengar setiap nasihat dan pesanan daripada Simon," kata Leona kepada Putri selepas membuat persembahan.

Leona yang pernah menyertai pertandingan nyanyian The X Factor berkata, dia berbangga dapat menjayakan persembahan bersama seorang penyanyi yang berbakat besar seperti Putri.

Tinjauan menerusi laman sosial X atau sebelumnya dikenali Twitter mendapati ramai pengguna memuji keupayaan Putri yang mengalami kecacatan penglihatan itu menyanyikan dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:55 PM