Putri Ariana ketika mengadakan persembahan pada program America's Got Talent.
Putri Ariana ketika mengadakan persembahan pada program America's Got Talent.
Agensi

Kuala Lumpur : Penyanyi Indonesia yang cacat penglihatan, Putri Ariani, 17, mengejutkan juri dan penonton program realiti popular, America's Got Talent (AGT) apabila berjaya mendapat Golden Buzzer daripada juri, Simon Cowell, semalam.

Walaupun buta, ia bukan penghalang buat Putri untuk menampilkan persembahan menawan dengan bakat nyanyian dan bermain piano.

Remaja itu menyanyikan lagu ciptaannya berjudul Loneliness sambil bermain piano, sekali gus membuatkan Cowell segera menekan Golden Buzzer.

"Cabaran terbesar saya ialah orang memandang saya hanya sebagai orang buta, bukan sebagai pemuzik. Tetapi apabila saya menyanyi, saya rasa seperti seorang 'superstar'.

"Impian saya adalah menjadi diva terbesar di dunia seperti Whitney Houston dan memenangi Grammy Award," katanya.

Persembahan memukau itu turut membuatkan Cowell meminta dia menyanyikan lagu kedua. Putri menerimanya dan menyampaikan lagu popular Elton John, Sorry Seems To Be The Hardest Word.

Putri kemudian diberi tepukan bergemuruh dan 'standing ovation' daripada juri dan penonton.

"Awak baru berusia 17 tahun. Awak sudah menulis lagu dan juga mempunyai suara tersendiri yang menakjubkan. Awak adalah salah seorang penyanyi terbaik yang pernah kami miliki dalam program kami," kata Cowell.

Video nyanyian Putri di saluran YouTube AGT mula tular semalam dan mendapat lebih 5.6 juta tontonan dan hampir 53,000 komen yang kagum dengan persembahannya.

Sebelum ini, Putri pernah memenangi program Indonesia's Got Talent pada 2014 ketika baru berusia lapan tahun.

Putri juga pernah tampil dalam majlis perasmian Sukan Para Asia 2018 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Selain itu, dia memilik album berjudul Melihat Dengan Hati pada 2020 dan Tak Mampu Lupa yang mendapat 11 juta penstriman di platform Spotify.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 12:52 PM