Georgie Joseph


MESKI jasad Allahyarhamah Sandra Dianne, 26, sudah tidak bersama kita, legasi ditinggalkannya masih utuh. Tidak sempat memperdengarkannya sendiri, namun lagu terbarunya Sandra tetap dilancarkan.

Mendapat sentuhan komposer Jonathan Tse dan Mohariz Yaakub, karya itu terlalu istimewa. Sandra yang dicipta dengan muzik 'soul' sememangnya penuh makna mendalam terutama buat Jonathan sendiri.

Menurutnya, bingkisan terakhirnya bersama Sandra Dianne itu penuh beremosi dan meruntun jiwa. Apatah lagi, jalan ceritanya berkisar mengenai seseorang yang ditinggalkan insan tersayang.

Berkongsi mengenai penghasilan lagu itu, Jonathan ternyata hilang kata-kata dengan pemergian Sandra Dianne. Baginya, penyanyi itu yang paling layak mendapat kredit dalam menghidupkan lagu itu.

Bagi Jonathan, jiwa lagu itu tidak mungkin menjadi luar biasa tanpa alunan suara Sandra yang menjadi magis utama dalam lagu Sandra.

"Lagu ini saya cipta bersama Mohariz tanpa menetapkan siapa penyanyi pada asalnya. Sebaik Sandra mendengarnya, dia terus jatuh cinta dan mahukan lagu ini. Kami pun memang tahu kualiti nyanyiannya dan bersetuju memberinya kepada Sandra. Tidak sangka, dia berjaya menyuntik magis sendiri dalam nyanyian, bahkan dia menambah elemen uniknya," katanya.

Jika didengar secara kasar, lagu ini kedengaran santai namun sebaik diteliti dan didalami, mesejnya begitu mendalam. Bait lirik yang ditulis ada penceritaan besar yang bukan mudah menerima takdir apabila ditinggalkan orang tercinta.

Menurut Jonathan, inspirasi lagu itu terbit daripada kisah pemergian Arwah Ashraf Sinclair pada awal tahun ini.

"Kisah yang menimpa Bunga Citra Lestari selepas kehilangan suaminya itu memang sangat meruntun hati. Dari situlah idea untuk menulis lagu ini tercetus. Idea itu sendiri saja pun sudah cukup menggambarkan bagaimana emosi yang disalurkan dalam lagu ini.

 JONATHAN Tse mengakui Sandra cukup bermakna dan ada magis tersendiri.
JONATHAN Tse mengakui Sandra cukup bermakna dan ada magis tersendiri.

"Namun, saya puji Sandra apabila berjaya menyampaikannya dengan baik. Proses pembikinan lagu ini sebenarnya mengambil masa lebih kurang sebulan sahaja. Selepas mendengarnya, Sandra pantas menguasai dan tahu bagaimana untuk menghidupkan lagu ini.

"Disebabkan itu, tidak lama pun masa yang diambil untuk merakam lagu ini. Kami berjaya siapkan dalam beberapa jam sahaja," katanya.

Bercerita lanjut, lagu Sandra dibuat bukan setakat untuk mereka yang kehilangan seseorang disebabkan meninggal dunia. Sebaliknya, ia lagu yang sesuai dengan situasi sesiapa juga termasuk pasangan bercinta apabila ditinggalkan kekasih. Dalam pada bersedih, mereka tetap harus kuat meleraikan kesedihan itu.

"Lagu ini bukan membawa maksud untuk meratapi pemergian orang tersayang itu sebaliknya curahan hati bagaimana seseorang melakukan refleksi terhadap hal itu. Bagaimanapun, elemen kesedihan itu pastinya tetap ada dan terserlah dalam melodi serta cara penyampaian bait-bait liriknya," katanya.

Terdahulu, Sandra disahkan meninggal dunia pada 11 September lalu selepas terbabit dalam nahas jalan raya. Lebih memilukan, Sandra ketika itu sedang bertanding untuk program Big Stage musim ketiga. Allahyarham sebelumnya mencipta nama menerusi lagu Hey! Kau, Terkemuka, Tulus, dan Jelaskan.

Lagu Sandra boleh distrim di semua platform penstriman muzik antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 6:15 AM