Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Cef selebriti popular, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, 65, yang kini menghidap kanser limfoma menyifatkan penampilannya yang kini botak sebagai menawan sama seperti dua selebriti Hollywood, Vin Diesel dan The Rock.

Menerusi hantaran di Instagram, Chef Wan meluahkan dia tidak mahu menipu diri dengan memakai rambut palsu semata-mata untuk dilihat gembira dan mampu tersenyum ceria.

"Apabila saya melihat foto dua selebriti Hollywood terkenal ( Vin Diesel dan The Rock) yang berimej botak itu, saya fikir okaylah kalau botak pun. Mereka tetap kelihatan menawan.

"Malah, saya berasa seperti menipu diri sekiranya memakai rambut palsu seperti malam tadi hanya untuk mengukir sebuah senyuman di wajah," tulisnya.

Chef wan berkata, beliau sebenarnya yakin saja berjalan ke sana sini dengan imej botak itu tanpa perlu memikirkan tanggapan orang lain terhadapnya.

"Apa yang pasti doktor memaklumkan keputusan pemeriksaan darah saya berada pada tahap okay dan dibenarkan balik ke rumah sejak kelmarin selepas selesai rawatan kemoterapi yang kelima.

"Saya boleh makan seperti biasa, apa saja makanan yang diinginkan, perlu mendapat rehat yang cukup dan sentiasa rajin bersenam untuk membina tenaga dan kekuatan dalaman diri menjadi lebih bersemangat," katanya.

Rata-rata netizen yang mengikutinya di Instagram meninggalkan komen-komen pembakar semangat untuk Chef Wan berjuang melawan kanser limfoma yang difahamkan tahap dua itu.

Pada 3 Ogos lalu, Chef Wan membuat perkongsian di Instagram mengenai keadaan kesihatannya yang disahkan menghidap kanser limfoma selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG).

Dalam hantaran dibuat berkenaan, beliau juga memaklumkan dirinya perlu menjalankan rawatan kemoterapi sebanyak 13 kitaran untuk jangka masa selama 13 minggu.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Chef Wan tidak berjaya apabila kiriman mesej kepadanya tidak dibalas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 September 2023 @ 4:25 PM