GEMILANG taruhan terbaharu Evie.
GEMILANG taruhan terbaharu Evie.
Georgie Joseph


Finalis program realiti Lagu Cinta Kita 2, Evie Feroza kini tampil dengan single terbaharu berjudul Gemilang bersempena dengan bulan kemerdekaan.

Lagu moden berunsurkan semangat patriotik ini adalah hasil ciptaan komposer berbakat, Dave Kitzkiniki dan Afiq Aiman.

Lirik dan gubahan lagu Gemilang yang unik dilihat dapat menyuntik semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia.

Keunikan inilah yang membuatkan Gemilang dipilih menjadi runut bunyi bagi telemovie The Patriot Games Malaysia.

Telemovie karya Robert Ong ini merupakan karya sinematik dalam menampilkan kekuatan, daya tahan, perpaduan dan persahabatan lima remaja.

Telemovie ini bermatlamat untuk membangkitkan semangat patriotik yang mendalam dan menyemarakkan lagi rasa bangga serta cinta kepada negara.

Robert Ong selaku Pengarah dan Penerbit telemovie The Patriot Games Malaysia berkata pemilihan lagu berkenaan menyuntik emosi penonton yang menyaksikan konsep penceritaannya.

"Lagu Gemilang ini bukan sekadar iringan muzik. Ia menjadi sebahagian daripada telemovie yang akan menghubungkan emosi penonton dengan jalan cerita telemovie ini.

"Ia juga akan memberikan penonton dan pendengar satu pengalaman sinematik yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga boleh menyemai perasaan bangga akan negara dan semangat kekitaan di antara rakyat Malaysia," katanya.

Jangan lepaskan peluang anda untuk muat turun 'Gemilang' di iTunes atau melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Spotify, Apple Music, Joox, Youtube Music, KKBox, Tidal dan Deezer.

Evie sebelum ini pernah tampil dengan single Hampir Sempurna ciptaan Shazee Ishak dan Audi Mok.

Evie yang bernaung di bawah syarikat rakaman Alternate Records & Talents dalam satu temubual sebelum ini berkata, Hampir Sempurna membawa kelainan kepadanya dari sudut nyanyian dan genre.

Nama Evie bukanlah asing buat peminat muzik tanah air.

Selain berjaya mara ke pentas akhir Lagu Cinta Kita 2 berpasangan dengan Kael, Evie juga dikenali dalam kalangan pengunjung di Bobo, Alexis, No Black Tie dan sering mendapat undangan menyanyi di beberapa majlis rasmi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 6:03 AM