EJEN Ali 3 Day Out dimeriahkan dengan kemunculan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia.
EJEN Ali 3 Day Out dimeriahkan dengan kemunculan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia.
Ridzuan Abdul Rahman


SERAMAI 80 ejen berkumpul dan menyiapkan misi hujung minggu dengan Ejen Ali pada program Ejen Ali 3 Day Out.

Ejen Ali adalah siri animasi popular dan mempunyai peminat dari pelbagai peringkat umur sehingga menjadi fenomena besar di peringkat global.

Menariknya Ejen Ali Musim 3 adalah usaha sama penerbitan siri animasi buat julung kali antara Primeworks Studios, sebuah anak syarikat penerbitan kandungan Media Prima, WAU Animation dan Disney+ Hotstar.

Ejen Ali 3 Day Out anjuran TV3 bertempat di Next Gen 1 Utama meraikan 14 keluarga bertuah yang terpilih melalui peraduan media sosial menerusi akaun Instagram rasmi Ejen Ali (@ejen_ali) dan TV3 (@tv3malaysia) di mana mereka perlu menyertakan kata kunci yang dipaparkan ketika tayangan episod pertama Ejen Ali musim 3 pada Jun lalu.

Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah permainan taman tema, penampilan maskot Ejen Ali dan Ejen Alicia dan majlis pemotongan kek.

Selain itu, pertandingan mewarna dan pop kuiz juga diadakan untuk peminat cilik Ejen Ali di mana pemenang bertuah membawa pulang barangan rasmi Ejen Ali. Tayangan episod 4 Ejen Ali Musim ke-3 juga ditayangkan bagi menghiburkan peserta dan ibu bapa yang hadir.

Bapa peserta, Shaharul Azren Yahya, 39, berkongsi pengalamannya yang begitu seronok dapat turut serta menyertai program itu.

PROGRAM berjaya kumpulkan keluarga dari seluruh Malaysia.
PROGRAM berjaya kumpulkan keluarga dari seluruh Malaysia.

"Perjalanan jauh saya sekeluarga dari Kulim, Kedah untuk ke program ini sangat berbaloi kerana kami seronok melakukan aktiviti seperti permainan taman tema Next Gen 1 Utama dan tayangan episod 4 Ejen Ali musim 3.

"Program seperti ini perlu lebih kerap diadakan kerana ia dapat merapatkan lagi hubungan antara ibu bapa dan anak selain bergembira. Terima kasih TV3 selaku penganjur kerana memilih keluarga kami menyertai progr

am ini." katanya.

Antara tetamu yang turut memeriahkan program adalah Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation dan Pengarah Ejen Ali, Usamah Zaid Yasin; Ketua Pegawai Penjenamaan WAU Animation dan Pengarah Seni Ejen Ali, Fuad Md Din serta Ida Rahayu Yusoff (pelakon suara Ejen Ali).

Bersempena sambutan ulang tahun TV3 ke-39, peminat setia dapat menyaksikan Ejen Ali Musim 3 pada setiap Ahad, jam 11.00 pagi di TV3.

Ejen Ali Musim 3 mengisahkan Ejen Ali dan rakan-rakannya ejen muda dari Akademi MATA disatukan semula dalam sebuah pertandingan rahsia di Arena MATA.

Pertandingan ini turut disertai beberapa orang rekrut Akademi MATA yang dilatih oleh agensi perisik antarabangsa.

Ali tekad mengikuti jejak langkah ibunya untuk menjadi Ejen MATA yang hebat, namun pelbagai halangan terpaksa diharunginya selepas dipisahkan dari gajet IRIS.

Sementara itu, Ejen Rizwan kembali untuk membongkar ancaman baharu yang berpotensi menjatuhkan bandar raya Cyberaya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:30 AM