Kumpulan Search dan Barbarik ketika sidang media sempena Konsert Double Trouble 2. Foto Eizairi Shamsudin
Kumpulan Search dan Barbarik ketika sidang media sempena Konsert Double Trouble 2. Foto Eizairi Shamsudin
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Menjelang Konsert Double Trouble 2 (DT2) di Stadium Malawati, Shah Alam, Sabtu ini, gabungan Barbarik bersama Search bakal mempamerkan persembahan dengan dinamik setara tanpa hampakan mana-mana pihak.

Muss selaku penyanyi Barbarik berkata, adalah penting untuk mereka saling melengkapi terutama segmen ditetapkan yang bakal menggabungkan kedua-duanya.

"Kami tak nak band satu lagi berasa hampa dengan apa yang mereka inginkan, kami tak mampu buat. Kami takut mereka ada memikirkan sebegitu. Kami harap, apa yang mereka terfikir, kita akan dapat laksanakan masa konsert.

"Sebab itu yang ada dalam senarai awal kami, ada beberapa segmen dan harap perancangan itu memenuhi kemahuan peminat. Kalau boleh tak mahu melebih sangatlah. Kadang-kadang, kalau terlalu 'over', pun boleh jadi sesuatu yang melebih-lebih," katanya.

Muss percaya amat penting buat mereka sajikan hiburan yang memenuhi kemahuan peminat.

Dia tidak menafikan bimbang kalau apa yang mereka rasa seronok dilakukan tidak menepati jiwa penonton.

"Kami takut kita buat sesuatu yang kita rasa seronok sedangkan peminat tertanya apa benda yang kami buat terlebih. Kami harap ia takkan berlaku dan dapat beri secukup rasa.

"Ada lebih yang orang akan kagum, ada pula hal terlebih akan buat mereka musykil apa cuba dilakukan kami? Kami berharap segala yang kami praktis bersama akan mencapai seperti diharapkan pada konsert itu nanti," katanya.

Yan mewakili Search pula berharap mereka mampu padatkan durasi persembahan seperti dirancang dengan padu serta menepati perancangan ditetapkan.

"Konsert itu paling-paling akan berlangsung dua jam setengah atau boleh terlajak ke tiga jam. Mengikut perancangan dan praktis, memanglah tercapai cukup-cukup dua jam setengah. Tapi kami akan ada 'masuk keluar' dan nanti pasti ambil masa.

"Jadi, kalau tiga jam itu kita tidak memberi sesuatu yang padat, bagus, dan diinginkan penonton, gagallah kami. Kami harap perancangan kami itu menjadi sampai tahap 90 peratus ke atas. Mungkin kami rancang 100 peratus, tapi adalah berlaku apa-apa, kalau boleh janganlah terlalu kurang 90 peratus," katanya.

Konsert Double Trouble 2 diadakan atas permintaan penganjur, Alpha Nation susulan kejayaan Konsert Search Rockin On Rooftop di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur, pada Jun dan Konsert Barbarik Pentas Keras di Zepp Kuala Lumpur, Disember tahun lalu.

Untuk persembahan kali ini, mereka memilih menampilkan lagu terbaik dan sesuai dengan konsert terbabit serta menitik beratkan segala segi merangkumi aspek produksi dan pengendalian konsert.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 4:50 PM