Khalil (tiga dari kanan) ketika mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala bersama DBP. Foto Ihsan Profima
Khalil (tiga dari kanan) ketika mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala bersama DBP. Foto Ihsan Profima
Affan Rostam


Kuala Lumpur: Bagi memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pekerja filem dan proses penerbitan kandungan, Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) menjalin kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Apa yang bakal dilaksanakan tahun ini adalah kerjasama penyelarasan penggunaan bahasa dalam perjawatan pekerja filem, wacana ilmu, penerbitan buku berkaitan pendidikan filem serta beberapa perancangan strategik lain.

Presiden Profima, Khalil Salleh, berkata kerjasama itu adalah langkah awal bagi membiasakan penggiat industri kreatif terutama dalam bidang penerbitan filem atau rancangan televisyen (TV) menggunakan bahasa Melayu yang betul.

"Alhamdulillah cadangan kami disambut baik. Beberapa idea kerjasama sudah diberi bagi meningkatkan lagi penguasaan, penggunaan dan pendidikan berkaitan bahasa Melayu dalam karya pembikinan filem dan rancangan TV.

"Profima baru membuka jalan dan diharapkan semua pemain industri terutama penulis, penerbit, pengarah seni dan beberapa pakar perfileman mengambil peluang atas apa juga program yang akan berlangsung bersama DBP, tahun ini," katanya.

Khalil berkata, kebanjiran karya melalui media sosial yang menggunakan bahasa rojak dilihat sudah menjadi trend semasa yang perlu dibetulkan agar tidak menjadi ikutan masyarakat.

"Profima berharap kerjasama strategik ini akan memberi nilai tambah pada masa hadapan dalam persediaan pembikinan filem dan rancangan TV.

"Ini perlu dalam usaha pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan," katanya.

Baru-baru ini, Profima mengadakan kunjungan hormat dan perbincangan dua hala bersama Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari; Timbalan Pengarah Operasi Zulfa Hamzah: Pengarah Jabatan Dasar Dan Penyelidikan, Razali Che Mat dan Pengarah Jabatan Penerbitan, Fauzilahyatun Mustafa di Menara DBP di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 3:19 PM