UQASHA Senrose.
UQASHA Senrose.
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Uqasha Senrose, 31, menjelaskan adegan berkemban dan berpelukan dengan pelakon, Amerul Affendi dalam filem Sumpahan Jerunei yang menjalani penggambaran empat tahun lalu adalah bagi memenuhi tuntutan watak.

Menurut Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, kedua-dua babak itu dilakonkan sebelum dia berkahwin dengan Kamal Adli yang juga pelakon.

"Jika diamati skrip, adegan-adegan itu perlu bagi mencantikkan lagi jalan cerita filem ini. Selain belum berkahwin, ketika itu saya juga masih solo dan tidak mempunyai sebarang komitmen dengan sesiapa.

"Saya memang tidak boleh dicabar dan ingin melakonkan semua adegan sendiri tetapi ada batasnya. Sebenarnya babak itu bukan berkemban semata-mata, tetapi ada lagi seperti membabitkan kewujudan hantu. Namun, ia dipotong," katanya.

Uqasha berkata, ketika itu juga dia belum mempunyai sebarang ikatan dengan Kamal dan masih dalam fasa berkawan.

"Ini adalah kerjaya masing-masing dan tuntutan untuk menjayakan watak. Cuma bila sudah berkahwin berbeza batasnya," katanya.

Selain babak itu, Uqasha juga melakonkan sendiri untuk babak membabitkan aksi lasak.

"Setiap babak dalam filem itu sukar. Antaranya saya kena ikat dan naik atas pokok dan pokok jatuh depan muka. Saya juga melakonkan babak saya diikat dalam air.

"Selain itu, saya juga melakonkan babak mandi dalam air sungai yang kotor dan menjadi tempat bahan buangan dari tandas di kampung berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 11:24 AM