Haiza.
Haiza.
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi dangdut dan penyampai radio Kool 101, Haiza Hanafi bersyukur kerana namanya masih relevan selepas lebih 10 tahun dalam industri penyiaran termasuk dicalonkan sebagai Top 5 kategori Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35 yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 21 Julai ini.

Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin, 43, berkata, kali terakhir dia menjadi finalis kategori itu pada ABPBH 2016.

"Saya bersyukur kerana berjaya mara dalam kelompok Top 5. Namun, saya tidak mengejar anugerah atau meletakkan harapan tinggi untuk menang sebab hanya ikhlas bekerja sejak dulu," katanya.

Dalam kategori itu, Haiza turut bersaing dengan DJ Lin dari Suria FM, Tyzo (Suria FM), Johan (Hot FM) dan DJ Sonic (Nasional FM).

Haiza berkata, semua calon yang bertanding adalah rakan seperjuangannya dalam industri radio.

"Siapa saja yang menang adalah bonus dalam karier dan yang tidak menang pula perlu terus menjalankan tanggungjawab diamanahkan.

"Sebagai penyampai radio, kami mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan maklumat berguna kepada pendengar," katanya.

Haiza berkata, saingan sengit pastinya daripada DJ Lin yang pernah menang kategori itu beberapa kali.

"Saya akan menggandakan usaha dari segi undian peminat. Pada masa sama, saya hanya berserah dengan apa saja keputusan nanti," katanya.

Selain dicalonkan, Haiza juga diberi kepercayaan untuk menjadi penyampai trofi pada malam kemuncak ABPBH 35 nanti.

ABPBH 35 akan ditayangkan secara langsung di TV3 dan strim 'live' di Tonton.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 11:09 AM