Shuib
Shuib
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pelawak dan penyampai radio, Shuib, 38, tersenarai antara artis paling berpengaruh di TikTok Malaysia bagi tahun 2022 menduduki tangga kedua Artis Dengan Pengikut Baharu Terbanyak dan kelima untuk Artis Tontonan Terbanyak. 

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad berkata dia sangat gembira dengan pencapaian itu dan mengakui TikTok adalah medium penting untuk artis kekal relevan.

"Alhamdulillah, terima kasih TikTok. Semestinya gembira dan tak jangkakan pun saya tersenarai antara artis paling berpengaruh. Mungkin disebabkan kerjasama-kerjasama dengan pempengaruh lain buatkan saya tersenarai.

"Sekarang ini TikTok banyak kegunaannya dalam pemasaran yang sememangnya banyak manfaat. Selain bagus untuk artis sendiri untuk kekal relevan, ia juga bagus untuk pemasaran sesebuah perniagaan. Maklumlah, TikTok sekarang pun memang sangat berpengaruh kan," katanya.

Shuib juga percaya pemilik TikTok perlu memiliki strategi tersendiri untuk menyajikan kandungan terbaik. Bagaimanapun, dia mengakui tidak mahu terlalu terikat dengan strategi yang terancang untuk akaunnya.

"Untuk kandungan saya, kadang-kadang memang ada yang dirancang. Saya buat perbincangan dengan pasukan untuk memutuskan apa yang perlu dimuat naik. Ada kala saya memang suka hati muat naik apa-apa saja. Hal-hal yang ringkas saja pun," katanya.

Shuib juga berkata, bukan semata-mata artis saja tapi sesiapa pun mampu berjaya di TikTok sekiranya berhasil tampilkan kandungan yang bagus.

"Tidak semestinya seseorang itu perlu berpengaruh. Tapi kalau ada kandungan yang baik dan menarik, pasti mereka boleh pergi jauh dalam TikTok," katanya.

Shuib berada di belakang penyanyi Angelloweee, Syamer Azmi, Baby Shima, dan Hasif Usin bagi kategori Artis Tontonan Terbanyak. Angelloweee juga berada di tangga pertama kategori Artis Dengan Pengikut Baharu Terbanyak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 3:52 PM