Ziana gelisah tunggu respon Waktu
Ziana gelisah tunggu respon Waktu
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Penyanyi terkenal, Ziana Zain memaklumkan dia memilih untuk berduet dengan pendatang baru, Hasif Upin menerusi single terbarunya berjudul Waktu kerana mahu memberi peluang dan ruang kepada bakat baru dalam industri muzik tanah air.

Menurut Ziana atau nama sebenar, Siti Roziana Zain, 55, dia bersetuju untuk berkolaborasi dengan Hasif yang juga penyanyi baru dan tiktokers kerana percaya dengan bakatnya.

"Saya nampak bakat Hasif dari segi kualiti vokal dan kesungguhan untuk menceburkan diri dalam industri hiburan tanah air.

"Semangat dan kerajinannya harus dipuji dan saya secara peribadi suka dengan kesungguhannya itu.

"Ini juga salah satu sokongan saya sebagai artis yang berpengalaman untuk beri ruang dan peluang kepada bakat baru seperti Hasif untuk lebih dikenali ramai," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Ziana yang lebih mesra disapa Kak Gee berkata, dia tampil memberi penjelasan terbabit kerana ada pihak yang mempersoalkan gandingan duetnya dengan Hasif itu.

Lagu duet Ziana dengan Hasif berjudul Waktu itu juga sentuhan komposer meningkat naik, Iqie Hugh, John Jeeves dan Firdaus Rahmat. 

Kata Ziana, selepas hampir 15 tahun, dia tidak ada single baru, pastinya lagu duet terbaru itu dinantikan peminatnya.

"Namun, ramai yang memberi kritikan dan juga mengecam di laman Instagram (IG) saya serta mempertikaikan kenapa saya berduet bersama pendatang baru seperti Hasif?

"Ada yang mempersoalkan kenapa saya tidak berkolaborasi  dengan artis-artis gred A yang lain.

"Justeru, semoga penjelasan ini dapat menjawab segala persoalan dari netizen di laman sosial itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2023 @ 12:03 PM