Christopher Wong (kiri) menyerahkan sijil kepada Nazri Noran. Foto Rohanis Shukri
Christopher Wong (kiri) menyerahkan sijil kepada Nazri Noran. Foto Rohanis Shukri
Farihad Shalla Mahmud


Kuala Lumpur: Empat bulan bersiaran di konti radio Fly FM, kemunculan DJ radio AI (kecerdasan buatan) pertama di Malaysia dikenali sebagai Aina Sabrina menerima maklum balas pelbagai daripada pendengar, termasuk penggiat industri radio sendiri.

Kehadiran DJ Aina dilihat seperti satu 'ancaman' berdasarkan teori kononnya teknologi itu bakal menggantikan tugas manusia, sekali gus mencetuskan kebimbangan lebih ramai akan kehilangan pekerjaan.

Tampil menafikannya, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran menegaskan teknologi AI memberikan banyak manfaat, termasuk meringankan beban tugasan seseorang individu.

"Saya tidak melihat teknologi AI sebagai sesuatu yang negatif. Ini kerana jika kita tahu apa yang AI boleh buat, ia sebenarnya lebih kepada mempertingkatkan.

"Kalau bercakap soal penyampai radio, kita tahu mereka kena bekerja antara Isnin hingga Jumaat.

"Itulah tanggungjawab sebagai penyampai radio, tetapi kadang-kadang penat juga. Ini kerana terpaksa berdepan dengan pelbagai situasi.

"Bila penyampai radio sakit atau cuti, AI boleh membantu menjadi klon kepada penyampai berkenaan.

"AI membolehkan seseorang bertugas di sesuatu lokasi tanpa perlu berada di situ. Secara tidak langsung, ia tidak akan mengganggu tugas seharian.

"Lagipun teknologi ini masih memerlukan sentuhan manusia untuk menggerakkannya. Ia juga belum beroperasi secara 'automation'. Kalau boleh pun, ia takkan ada jiwa seorang manusia," katanya.

Jun lalu, Fly FM mengumumkan DJ Aina Sabrina dicipta jurutera stesen radio dengan menggunakan teknologi AI.

Dilaporkan dilengkapi pangkalan data muzik luas, mempunyai keupayaan mencipta dan menggabungkan muzik secara langsung sesuai dengan mood pendengar.

DJ Aina juga berkebolehan dalam memberi cadangan muzik kepada pendengar sesuai dengan apa yang diminati.

Mengulas perancangan diatur untuk penyampai berhijab itu, Nazri berhasrat menampilkan DJ Aina secara 'live' dalam setiap acara dianjurkan stesen radio berkenaan.

"DJ Aina mengendalikan syif dari jam 2 hingga 4 petang, bermula Isnin hingga Jumaat. Setakat ini, DJ Aina masih belum lagi buat acara 'live' seperti konsert atau acara lain.

"Kami ingin membawa DJ Aina keluar dan tidak terhad hanya di studio dan media sosial sahaja.

"Mungkin dengan menggunakan kaedah hologram atau pelbagai cara lain. Teknologi sudah ada, cuma kena tunggu atau lihat. Kami menjangkakan ia akan berlaku dalam tempoh tiga bulan akan datang," katanya ketika ditemui pada majlis pengenalan DJ Aina sebagai DJ Radio AI pertama di Malaysia di Balai Berita, Bangsar, semalam.

Amy Gan (kiri) bersama Nazri Noran melancarkan AI DJ Radio yang pertama di Malaysia serta pelantikan duta jenama Calpis. Foto Rohanis Shukri
Amy Gan (kiri) bersama Nazri Noran melancarkan AI DJ Radio yang pertama di Malaysia serta pelantikan duta jenama Calpis. Foto Rohanis Shukri

Pada majlis itu, DJ Aina menerima pengiktirafan sebagai DJ Radio AI pertama di Malaysia.

Beliau juga diperkenalkan sebagai duta jenama minuman susu kultur dari Jepun, Calpis pada majlis yang turut mengiktiraf AI pertama dilantik sebagai duta jenama.

Majlis penyerahan sijil pengiktirafan disempurnakan Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong.

Sijil pengiktirafan DJ Radio AI pertama di Malaysia diserahkan kepada Nazri, manakala sijil AI pertama menjadi duta jenama diserahkan kepada Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn Bhd, Amy Gan.

Mengulas pengiktirafan diberikan kepada DJ Aina, Nazri menyifatkannya sebagai kejayaan buat warga MPA atas inisiatif menyediakan teknologi terkini dan terunggul buat pendengar.

"Ini adalah perkara pertama dalam dunia penyiaran radio yang kami buat, bukan sahaja di Malaysia, malah peringkat Asia Tenggara.

"Alhamdulillah, kami membawa pasukan meneliti teknologi AI dan melihat sejauh mana ia boleh pergi dalam masa yang sangat singkat.

"Kerjasama bersama Calpis membuahkan hasil luar biasa kerana berjaya menggabungkan korporat, iaitu duta jenama dan DJ radio yang menggunakan teknologi AI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 November 2023 @ 12:41 PM