J HOPE
J HOPE
Agensi

Seoul: Anggota BTS, J-Hope yang kini menjalani khidmat latihan ketenteraan mengirim surat tulisan tangannya kepada kelan peminat BTS, ARMY sempena ulang tahun ke-10 kumpulan itu.

Gambar yang mengandungi surat J-Hope disiarkan di Twitter rasmi BTS dengan kapsyen - "Surat daripada J-Hope kepada ARMY, terima kasih saya ucapkan dari lubuk hati dan saya sangat menyayangi anda semua."

"ARMY, awak baik-baik saja bukan? Saya sedang membiasakan diri dengan kehidupan tentera dan saya berasa sangat gementar," katanya dalam surat tulisan tangan itu.

Menurut J-Hope, surat pendek itu adalah untuk menghargai kelab peminatnya yang masih setia bersama mereka sejak 13 Jun 2013 hingga kini.

"Kebiasaannya, kami akan berkumpul bersama bagi meraikan ulang tahun, tetapi kali ini ada beberapa ahli kumpulan yang tidak dapat bersama," tulisnya dalam surat itu.

Dalam surat itu, dia juga mengajak ARMY mengenang kembali kenangan sepanjang tempoh 10 tahun BTS dalam industri muzik K-Pop.

J-Hope juga berpesan, ada beberapa ahli kumpulan BTS yang bakal muncul dengan single terbaru dan berharap ARMY dapat memberi sokongan kepada mereka.

J-Hope direkrut sebagai tentera untuk bertugas di Pusat Latihan Rekrut Bahagian A Tentera Darat pada 18 April lalu.

Selepas tamat latihan, dia dilantik sebagai penolong pengajar latihan Divisyen Infantri ke–36.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 2:21 PM