BTS masih kekal mendahului dalam industri hiburan Korea Selatan.
BTS masih kekal mendahului dalam industri hiburan Korea Selatan.
Georgie Joseph

MENGGENGGAM trofi Anugerah Daesang dalam mana-mana acara pengiktirafan di Korea Selatan sememangnya impian setiap artis di sana.

Anugerah itu umpama trofi keramat untuk menentukan betapa bagusnya mereka.

Nampaknya, kumpulan BTS kini memegang rekod terbanyak sebagai penerima anugerah terbabit selepas menang lagi di Seoul Music Awards 2020 yang berlangsung di Gocheok Sky Dome, Seoul, kelmarin.

Walaupun tidak dapat hadir, tentu sekali anggotanya Jin, J-Hope, RM, Suga, Jimin, V dan Jungkook bersyukur dengan kemenangan terbabit. Apatah lagi ini kali ketiga berturut-turut mereka memenangi Daesang di acara itu.

Anggotanya sempat meluangkan masa untuk merakamkan video penghargaan atas pencapaian manis itu. Jungkook menyifatkan penghormatan itu sangat bermakna, manakala Jin terharu dengan penerimaan terhadap muzik mereka.

“Terima kasih buat semua yang mendengar serta mencintai muzik kami,” kata Jin.

Semuanya pasti tidak berhasil buat mereka jika bukan kelab peminat ARMY yang terus meletakkan BTS di puncak karier.

SENTIASA bersyukur terima sokongan padu daripada ARMY.
SENTIASA bersyukur terima sokongan padu daripada ARMY.

Tidak dinafikan, jutaan peminat mereka di seluruh dunia sentiasa memberikan yang terbaik dalam bentuk sokongan.

J-Hope turut menyatakan rasa syukur tidak terhingga buat peminat yang terus percayakan bakat mereka. Baginya, mereka tunjang yang sentiasa menjadi sumber kejayaan kumpulan itu.

“Kepada ARMY tercinta yang sentiasa memerhati perjalanan dan menyokong kami, terima kasih kerana anda menjadi sumber terkuat kami. Anda tahu kami sangat sayangkan anda, bukan?” katanya.

Dalam pada itu, V turut berterima kasih kepada semua kakitangan agensi mereka di Big Hit Entertainment atas usaha mereka.

RM pula mengucapkan tahniah kepada semua yang terbabit menjayakan Seoul Music Awards tahun ini.

Selain Anugerah Daesang, BTS turut memenangi kategori Rakaman Terbaik menerusi album Maps of the Soul: Persona serta Anugerah Bonsang, sekali gus mengumpul 16 trofi setakat ini sepanjang penganjuran acara itu.

Hujung tahun lalu, album terbaru mereka Map of the Soul: Persona yang dilancarkan pada April tahun lalu melonjak secara mendadak dalam carta album Billboard 200 apabila naik 69 tangga.

Album berkenaan bertahan selama 27 minggu berturut-turut dalam carta berkenaan walaupun turut mengalami kejatuhan sepanjang tempoh itu.

Namun, ia kembali menaiki carta selepas versi baharu album terbabit dilancarkan. Dalam versi terbaru itu, lagunya bersama Lauv berjudul Make It Right turut dimuatkan.

Faktor lain yang berpotensi menjadikan peningkatan jualan mendadak album itu tidak lain keputusan mengejutkan di 2019 E! People’s Choice Awards. Walaupun dilaporkan mendahului undian, BTS pulang dengan tangan kosong pada acara itu.

Selepas upacara berkenaan tamat, kelab peminatnya ARMY menunjukkan kepada dunia kuasa mereka dengan menyokong album BTS.

Serta-merta album itu kembali tersenarai dalam carta iTunes Top Albums di Amerika Syarikat dan terus menduduki tangga kedua.

Setakat ini, jumlah jualan album terbaru mereka melebihi lima juta unit di seluruh dunia di mana jualan tertingginya adalah di Korea Selatan iaitu 3.7 juta.

Dalam acara itu, EXO membuktikan mereka juga terus unggul apabila pulang dengan tiga trofi menerusi kategori Anugerah Populariti, Anugerah Khas Hallyu dan Anugerah Paling Popular QQ Music.

Untuk rekod, EXO adalah artis paling banyak menang sejak Seoul Music Awards dianjurkan bermula 1990 iaitu 25 trofi. Ini diikuti BTS, Super Junior (13), Shinee (12) dan Girls’ Generation (12).

Acara yang dihoskan Kim Heechul, Jo Bo-ah, dan Shin Dong-yup turut dihangatkan dengan persembahan daripada ITZY, TXT, AB6IX, NCT Dream, Red Velvet, MAMAMOO, TWICE, MONSTA X, NU’EST, Super Junior, Taeyeon, Chungha, Kassy, Paul Kim, Kim Jae Hwan, Ha Sung Woon, Song Ga In, Kim Hyun Chul, dan Daybreak.

Kriteria pemilihan pemenang untuk kategori utama, artis baharu, balada, R&B/Hip Hop, runut bunyi dan persembahan tari dinilai menerusi beberapa aspek. 40 peratus penilaian daripada juri, 30 peratus jualan album serta lagu dan 30 peratus undian telefon pintar.

Untuk kategori populariti adalah 100 peratus daripada undian peminat di Korea Selatan, anugerah K-Wave 100 peratus daripada peminat luar Korea Selatan dan kategori khas juri 100 peratus dinilai panel juri serta penganjur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Februari 2020 @ 6:01 AM