Antara barangan cenderamata eksklusif Kumpulan BTS. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Antara barangan cenderamata eksklusif Kumpulan BTS. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Ridzuan Abdul Rahman


Petaling Jaya: Hanya mereka yang lengkap menerima dua vaksin saja dibenarkan masuk ke kedai 'BTS POP-UP: MAP OF THE SOUL' yang akan dibuka di Malaysia mulai esok sehingga 31 Januari, tahun depan di 1 Utama Shopping Centre, di sini.

Pembukaan ini sekaligus menamatkan penantian peminat mereka yang terpaksa menunggu untuk seketika daripada jadual asal pembukaan pada 8 Mei lalu yang ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengunjung juga perlu mendaftar pada sistem senarai menunggu secara maya yang diprogramkan dengan pematuhan semasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) kerajaan.

Malaysia adalah negara kelima terpilih untuk kedai yang menjual barang dagangan BTS eksklusif di ruang yang direka khas selepas Korea Selatan, Jepun, Singapura, Filipina dan Thailand, tahun lalu.

Kedai BTS Pop-Up eksklusif di 1 Utama akan dibuka bermula jam 10 pagi hingga 8 malam itu memilih tampil dengan tema warna biru utama dan lukisan konsep dari album studio keempat BTS, Map Of The Soul: 7.

Berita menggembirakan ini turut dikongsi oleh MorningKall, selaku platform yang bertanggungjawab untuk acara BTS Pop-Up serantau menerusi pengumuman di Twitter, semalam.

"Hai, akhirnya kita kembali! Kami tidak sabar untuk berjumpa dengan anda!, " Tulis penganjur.

Kedai yang dinamakan BTS Pop-Up Showcase in Petaling Jaya ini menawarkan lebih 300 produk barangan termasuk koleksi kegemaran.

Ia merangkumi pakaian, aksesori, beg, dompet, poster, alat tulis dan pelbagai barangan yang menggunakan logo BTS dan produk yang menampilkan tema lagu seperti 'Black Swan' dan 'ON', juga semakin popular.

Selain itu, terdapat juga sudut khas yang didedikasi untuk barangan tema ekslusif Dynamite yang hanya terdapat di sini.

Dalam perkembangan lain, BTS tersenarai dalam Hall of Fame 2022 Guinness World Records selepas berjayq membuat 23 rekod dalam muzik dan media sosial.

Pencapaian ini diraih antaranya, menerusi beberapa anugerah muzik Billboard, anugerah muzik Asia dan banyak lagi yang lainnya dapat dicapai BTS hasil sokongan peminat mereka, ARMY.

Antara pengunjung terawal yang berpeluang meninjau kedai yang menjual barangan cenderamata BTS. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Antara pengunjung terawal yang berpeluang meninjau kedai yang menjual barangan cenderamata BTS. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 8:47 PM