SHAHEIZY Sam (kanan) dan Aniu teraju utama dalam filem Rembat yang mula ditayangkan esok.
SHAHEIZY Sam (kanan) dan Aniu teraju utama dalam filem Rembat yang mula ditayangkan esok.
Oleh Wahi Aziz


Kuala Lumpur: Pelakon terkenal Shaheizy Sam teruja berlakon dalam filem Rembat kerana ia bersifat universal.

Sam berkata, pembabitannya dalam filem terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd yang mula ditayangkan di seluruh negara esok itu adalah antara pembaharuan yang cuba ditampilkan.

“Saya terima tawaran beraksi dalam filem ini kerana jalan ceritanya memaparkan masyarakat berbilang kaum. Apatah lagi saya bergandingan dengan pelakon berbangsa Cina iaitu Aniu buat pertama kalinya. Ia secara tidak langsung memberikan kelainan pada persembahan saya,” katanya.

Menurutnya, filem arahan Syamil Othman itu bukan saja menyuntik mesej perpaduan kaum malah menawarkan kepelbagaian elemen komedi.

“Kita biasa dihidangkan filem komedi yang khusus untuk kaum tertentu saja. Saya pun berlakon ada menjayakan beberapa filem dan drama komedi yang penonton sasarannya Melayu sebelum ini.

“Apabila terbabit dalam Rembat, saya rasa pengalaman berbeza. Sebab itulah filem ini istimewa di mata saya.

“Walaupun karya ringan, ia sarat mesej perpaduan dan keharmonian yang boleh membuka mata masyarakat,” katanya.

Sam turut berbesar hati dapat bergandingan dengan Aniu malah menganggap pelakon itu sebagai abangnya.

“Sepanjang bergandingan, dia banyak bimbing saya. Dia sangat terbuka dan boleh menerima pandangan orang lain.

“Walaupun baru pertama kali bekerjasama, kami cepat serasi dan rapat bagai ada pertalian darah,” katanya.

Sam berkata, dia berharap filem berkenaan akan menjadi pembuka jalan untuk dia dikenali dalam kalangan peminat berbangsa Cina.

“Saya percaya jika peluang sebegini diperbanyakkan, tidak mustahil peminat bangsa lain terpanggil untuk menyokong filem dan pelakon Melayu pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Oktober 2015 @ 6:53 PM