SAZZY pengacara bersama dalam Women Talk.
SAZZY pengacara bersama dalam Women Talk.
Dayang Pretty Abbyana Datu Asis


SELEBRITI serba boleh, Sazzy Falak yang terkenal dengan kebolehan berbicara bakal tampil memeriahkan program bual bicara Women Talk di TV3 bermula 10 Jun ini.

Women Talk yang menampilkan Deborah Henry dan Zoraya Vadillo sebagai pengacara kini bakal diserikan dengan kehadiran Sazzy yang juga pengacara, pelakon, usahawan dan ikon fesyen pada setiap minggu.

Pernah berpasangan sebagai pengacara di rancangan televisyen, Deborah dan Sazzy bukanlah satu gandingan yang asing.

Mereka bakal menghangatkan lagi sesi bual bicara bersama Zoraya Vadillo dan tetamu jemputan setiap minggu.

Menurut Penerbit program, Datin Elaine Daly, penampilan Sazzy memberi nilai tambah bagi program yang mengupas isu semasa membabitkan wanita itu.

"Sazzy mempunyai keupayaan dan pengalaman yang luas untuk menerajui program ini dengan baik bersama Deborah dan Zoraya.

"Dia seorang yang terkenal dalam bidangnya dan sangat bersifat profesional dan kami rasakan kemunculan Sazzy bersesuaian dengan imej program Women Talk. Dengan tambahan istimewa musim ini, kami berharap penonton bakal terpegun dengan profesionalisme dan kebijaksanaan Sazzy dalam memberikan pandangan mengenai isu yang menjadi fokus utama dalam kalangan wanita." katanya.

Antara topik dan isu menarik yang akan diselami oleh pengacara trio dan tetamu jemputan adalah berkaitan dunia alzheimer's dan demensia, sindrom 'double burden', gangguan pemakanan, wanita sebagai pempengaruh dan banyak lagi.

Lebih menarik lagi, tetamu jemputan juga adalah individu yang berpengalaman dalam bidang berkaitan dengan topik mingguan.

Penampilan istimewa yang bakal memeriahkan episod Women Talk akan datang adalah pelakon dan pelawak, Harith Iskander, model dan hos, Shweta Sekhon, doktor perubatan, Dr Say Shazril dan ramai lagi.

Sidang produksi Women Talk diketuai Shahila Shah sebagai ketua penerbitan, manakala Elaine Daly dan Said Thani sebagai penerbit serta penampilan pengacara bersama oleh Deborah, Zoraya dan Sazzy.

Saksikan Women Talk musim ketiga setiap Sabtu jam 5 petang di TV3 dan penonton juga boleh strim langsung secara definisi tinggi menerusi Tonton di www.tonton.com.my.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini tentang program TV3, layari www.xtra.com.my dan ikuti laman media sosial rasmi Facebook, Instagram & Twitter di @TV3Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Jun 2023 @ 6:11 AM