Norhayati Nordin


TIGA tahun lalu, nama Athalia Deena Buswani atau Athalia, 20, pernah meledak dengan kontroversi video TikTok yang tular membabitkan dia dengan pelakon dan penyanyi, Alvin Chong.

Bermula dari situ jugalah identitinya sebagai anak sulung penyanyi lagu Langit Ketujuh, Sharifah Zarina, 42, mula terdedah dan menjadi perhatian ramai terutama di media sosial.

Sebagaimana ibunya yang memiliki bakat nyanyian, Athalia juga mewarisinya. Justeru, dia yang sudah menghasilkan beberapa single duet untuk mengetengahkan bakat seninya, gembira mendapat restu keluarga.

Athalia ketika ditemui berkata, dia meminati bidang muzik sejak kecil kerana selalu menemani ibunya membuat persembahan.

Bagaimanapun, ketika masih bersekolah dulu, ibu ada meminta agar tidak mengikut jejaknya terbabit dalam karier seni.

"Tapi, saya sendiri sudah memulakan langkah sebagai 'content creator' di TikTok dan mama mengetahuinya kerana menjana pendapatan. Sejak itu, dia sokong dan memberi banyak nasihat agar jangan buat itu dan buat ini.

"Alhamdulillah, syukur sebenarnya sebab saya mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Apatah lagi, dulu saya pun membesar dengan mengikut mama ke mana saja dia pergi membuat persembahan," katanya.

Mengulas dirinya yang berterusan dikaitkan dengan ibu tersayang, Athalia berkata, dia melihat positif dan itu perkara yang baik.

Katanya, dia tidak perlu berasa sedih, kecewa atau kesal apabila mereka sentiasa dikaitkan.

ATHALIA anak sulung penyanyi Sharifah Zarina.
ATHALIA anak sulung penyanyi Sharifah Zarina.

"Saya memang okay saja bila orang kaitkan, itu anak Sharifah Zarina. Patutlah, mak dia pun penyanyi. Bagi saya apa yang dikatakan itu memang betul dan tak salah langsung. Jadi, biarkan sajalah.

"Mama pun sentiasa menjadi penyokong di belakang saya dalam segala keadaan. Dia selalu memantau tindakan saya dan pada masa sama, kalau tiba-tiba dikecam netizen, mama akan tenangkan saya dan selalu ingatkan jangan layan.

"Kita tak boleh puaskan hati semua orang dan paksa mereka suka pada kita. Jadi, dengan adanya platform media sosial ini, tak boleh nak kata apa. Netizen memang akan cakap (komen) macam-macam," katanya.

Athalia berkata, apa yang diharapkan agar single solo, We Go Up nyanyiannya dapat diterima baik pendengar muzik.

Katanya, dia sudah membuat terbaik dalam rakaman lagu itu.

Mengulas juga kerjasama antara Universal Music dan Secret Recipe yang disertainya baru-baru ini untuk beberapa acara istimewa akan datang, Athalia menyifatkan ia sebagai peluang keemasan dan bermakna bagi penggiat seni baharu sepertinya.

Katanya, menerusi kempen meraikan Hari Ibu baru-baru ini, dia gembira apabila rakan satu pengurusannya, Meer Nash mendapat peluang apabila single Permata nyanyiannya dipilih sebagai lagu tema Hari Ibu, Secret Recipe.

ATHALIA gembira ibu bapa sokong jadi penyanyi.
ATHALIA gembira ibu bapa sokong jadi penyanyi.

Tampil lagu Bahasa Inggeris

Baru menapak dalam karier nyanyian, Athalia juga dilihat berani dengan keputusan mempertaruhkan single solo Bahasa Inggeris untuk kelompok peminatnya yang tersendiri.

"Memang saya memilih untuk ketengahkan single solo Bahasa Inggeris kepada masyarakat sebagai salam perkenalan. Single We Go Up yang saya cipta melodi dan liriknya ini amat bermakna pada diri saya.

"Malah, sebenarnya saya juga selesa berbahasa Inggeris kerana sudah terbiasa di rumah. Saya dan keluarga memang banyak berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dan loghat Sarawak di rumah.

"Walaupun jarang bercakap Bahasa Melayu, itu tidak bermakna saya kurang fasih dan perlu ambil masa memahaminya. Sejak aktif menyanyi dalam beberapa tahun ini, banyak membantu saya bercakap Bahasa Melayu dengan baik," katanya.

Athalia yang kini menyambung pengajian ijazah dalam jurusan psikologi di sebuah universiti swasta berkata, dia harus membahagi masa sebaik mungkin di antara pelajaran dan karier tambahan jadualnya agak padat.

"Satu cabaran juga untuk saya memastikan pelajaran dan karier mampu berjalan serentak. Walaupun tidak mudah, saya percaya ada jalan terbaik sekiranya jadual dapat disusun dengan teratur. Semuanya dalam tangan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2023 @ 6:00 AM