Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur : "Macam mana nak bincang, dia dah 'block' (sekat) nombor telefon saya sejak setahun lalu," kata pelakon, Puteri Sarah Liyana mengenai permintaan suaminya yang juga pengarah terkenal, Syamsul Yusof untuk berbincang dengannya selepas dia membuat pengakuan sudah berkahwin dengan Ira Kazar, semalam.

Puteri Sarah menerusi video yang dimuat naik di Instagram semalam berkata, dia pelik kenapa selama empat tahun masalah mereka itu, Syamsul tidak bercakap apa-apa, apatah lagi untuk berbincang.

"Banyak kali saya bertanya nak kahwin dengan dia (Ira) atau tidak? Tapi dia sendiri kata tak nak. Dia kata bukan dengan saya saja tapi dengan ibu bapanya dan semua sepupu yang dia takkan kahwin dengan perempuan itu," katanya.

Puteri Sarah berkata, dia menyuruh mereka berkahwin kerana tidak mahu bersubahat dengan maksiat yang dilakukan.

"Awak patut berbincang dengan ibu bapa saya walaupun awak tak mahu jumpa saya. Ini kerana saya masih ada ibu bapa dan begitu juga awak.

"Bila mereka tanya, banyak kali awak menafikan dan kata tak mahu perempuan itu," katanya.

Puteri Sarah turut menyifatkan tindakan Syamsul itu sebagai lelaki pengecut kerana selepas berkahwin baru membuat pengakuan di media sosial, malah menyalahkannya pula.

Puteri Sarah turut menjelaskan dia perlu tinggal dengan keluarganya dan keluarga Syamsul kerana memerlukan orang untuk membantu menjaga dan membesarkan dua anak mereka, Syaikhul Islam, 5, dan Sumayyah, 3.

"Awak tiada, awak tinggalkan kami. Saya terkontang-kanting terpaksa menjaga Syaikhul dan Sumayyah. Saya terpaksa jawab soalan mana ayah mereka? Setiap masa saya tipu mereka kata ayah bekerja.

"Selepas ini kita selesaikan semua ini di mahkamah dan saya tak nak lagi bebankan diri untuk menjawab persoalan mereka" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 January 2023 @ 1:00 AM