DA’I Syed. FOTO Arkib BERNAMA
DA’I Syed. FOTO Arkib BERNAMA
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Selepas dibebaskan daripada tuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, semalam, pendakwah selebriti, Da'i Syed, 28, memuat naik hantaran di Instagram Story berlatarkan video dia menangis ketika dalam tahanan selain mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan dan menyokongnya selama ini.

"Terima kasih Allah. Selama tiga tahun turun naik mahkamah, akhirnya kebenaran berpihak kepada saya. Syukur ya Allah!.

"Terima kasih semua yang mendoakan dan 'support' (sokong) saya selama ini. Hanya Allah layak balas kebaikan anda," katanya.

Pada perkongsian lain di Instagram Story juga, Da'i Syed menulis, tidak ada manusia yang mahu diletakkan dalam posisi dilaluinya, tapi ini jugalah fasa terpenting dalam kehidupan seorang Da'i Syed.

Tidak hanya itu, dia juga berkongsi video bersama ibunya di Instagram Story dan menulis ucapan, 'terima kasih mama, sentiasa ada untuk Iqmal berserta emoji hati berwarna putih.

Pada hantaran seterusnya, Da'i Syed berkongsi video dia membaca doa Nabi Yunus ketika berada dalam perut ikan nun yang Allah bantu memberi jalan keluar kepada baginda.

"Doa ini sangat hebat, sangat penuh dengan keajaiban. Kalau anda semua dalam situasi 'down' (jatuh), sedih, tertekan dengan ujian yang Allah berikan kepada anda, maka amalkan doa ini, Nabi Yunus dan semoga Allah memberikan pintu-pintu keluar untuk keluar daripada musibah, tekanan hidup anda. Insya-Allah," katanya.

Menerusi perkongsian fotonya bersama peguam bela, Syed Amirul Syed Edros di Instagram, Da'i Syed menulis kapsyen yang menggambarkan perasaaannya dengan kemenangan dimiliki.

"Alhamdulillah Ya Allah. Setelah tiga tahun saya berjuang membersihkan nama, maruah dan keluarga saya. Hari ini (semalam) 19 Ramadan, saya dilepaskan dan dibebaskan dari pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

"Saya kongsikan momen titik terendah saya ketika dalam tahanan dan video call (panggilan) bersama mama.

"Benarlah air hujan yang jernih turun dari awan yang gelap..," tulisnya.

Sementara itu, usaha Harian Metro bagi mendapatkan komen Da'i Syed tidak berjaya kerana dia terbabit dengan satu program.

Semalam, Hakim Rihaida Rafie membuat keputusan berkenaan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Da'i Syed di akhir kes pendakwaan.

Pada 10 Disember 2020, Da'i Syed mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di dalam bilik di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 1.35 malam, pada 11 September 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Seramai 18 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bermula April tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli manakala Da'i Syed (tertuduh) diwakili peguam Syed Amirul Syed Edros.

Sebelum ini, pada 31 Mei tahun lalu, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Da'i Syed daripada dua pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut sebuah kolej swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2023 @ 4:17 PM