CABAR diri untuk keluar dari zon selesa.
CABAR diri untuk keluar dari zon selesa.
Georgie Joseph


Kembali merancakkan karier muziknya, penyanyi Amir Hasan tampil melancarkan lagu baharu berjudul Cuma Kamu. Istimewanya, kali ini dia membawa pembaharuan daripada segi genrenya.

Berbanding lagu-lagu nyanyiannya sebelum ini, Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan, 26, memilih rentak retro sebagai pertaruhan. Masih santai dan mesra telinga, apapun dia sifatkan ia umpama angin baharu.

Disebabkan itulah anak jati Pahang ini sangat teruja dengan buah tangan terbarunya. Bukan apa, genre retro seakan makin jarang disuntik dalam lagu-lagu terkini dan pasti menjadi kelebihan buatnya.

"Genre lagu ini betul-betul berbeza. Saya rasa di Malaysia sekarang ini jarang ada lagu yang bergenre retro atau disko. Cuma Kamu adalah lagu yang sangat sesuai menjentik perasaan dilamun cinta," katanya.

Amir berkongsi, tawaran itu sebenarnya datang daripada pihak label Sony Music Malaysia. Lagu Cuma Kamu adalah projek runut bunyi (OST) untuk drama berjudul Gadis Exxtra yang ditayangkan di Astro.

"Saya tidak tunggu lama untuk jatuh cinta dengan lagu ini sebaik mendengar demonya. Ia mencetuskan sebuah keterujaan terutama melodi serta keseluruhan lagunya," katanya.

Mendapat sentuhan komposer hebat Farouk Roman, Amir yakin potensi lagu itu pergi jauh lebih tinggi. Menurutnya, bekerja dengan Farouk sangat menyenangkan dan bersyukur impian berganding dengannya jadi nyata.

"Saya sudah mengenali Farouk selama empat tahun. Kami sering berbincang mengenai perancangan untuk bekerjasama dan Alhamdulillah akhirnya hasrat kami tercapai.

"Buat pertama kali juga, saya tidak terbabit dalam penulisan liriknya dan memberikan kepercayaan penuh kepada Farouk. Dia juga sangat memahami saya dan mudah untuk bekerjasama dengannya," katanya.

Sepanjang rakaman lagu itu, Amir juga tidak berdepan cabaran kerana bimbingan profesional daripada Farouk. Katanya, dia cuma perlu beri perhatian lebih kepada aspek penghayatan.

"Alhamdulillah dalam proses menghasilkan lagu itu, segalanya teratur indah. Saya mengambil masa sekitar dua minggu untuk mendalami dan menghayati Cuma Kamu bagi pastikan saya dapat menyampaikannya luhur dari hati," katanya.

Tidak berputus asa mencipta nama dan kembangkan karier muzik, Amir menaruh harapan agar Cuma Kamu mampu menjadi pemangkin kepada kelangsungan aktiviti seninya.

"Impian besar saya tak lain untuk agar lagu ini dapat diterima dan mendapat sokongan daripada peminat dan pendengar di luar sana. Saya juga berharap agar lagu ini menjadi batu loncatan untuk saya lebih mara ke depan dalam kerjaya.

"Manalah tahu nanti ada orang yang panggil saya Amir Disko atau Amir Retro kerana menyanyikan lagu berkonsepkan muzik lama," katanya.

Menerusi lagu Cuma Kamu, Amir membuktikan bahawa dia mampu mencabar dirinya untuk keluar dari zon selesa kerana berjaya tampil dengan genre yang berbeza sebelum ini.

Lagu Cuma Kamu kini sudah boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 6:45 AM