Muzik daripada kumpulan duo dari Jerman ini memang popular dengan ungkapan 'lagu-lagu disko'.

Pada era 1980-an, lagu-lagu synthpop, new wave dan electronic Modern Talking adalah lagu wajib bagi kaki-kaki disko ketika itu.

Mereka adalah antara artis Jerman paling berjaya dengan beberapa lagu pernah menjadi popular serta menakluki carta lagu di beberapa negara.

Tentu ramai yang masih ingat dengan lagu wajib mereka seperti You're My Heart You're My Soul, Cheri Cheri Lady, Brother Louie, You Can't Win If You Want, Atlantis Is Calling (S.O.S For Love) dan Geronimo's Cadillac.

Modern Talking yang dianggotai Thomas Anders dan Dieter Bohlen ditubuhkan pada 1984 sebelum berpecah pada 1987. Pada 1998 mereka bergabung kembali dan menghasilkan beberapa lagu popular antaranya You're My Heart You're My Soul 98, You Are Not Alone dan TV Makes The Superstar.

Album terakhir mereka ialah Universe pada 2003.

Walaupun era mereka sudah lama berlalu, Modern Talking masih relevan dalam industri muzik hari ini. Lagu-lagu mereka masih menjadi pilihan dan diputarkan di stesen radio serta kelab-kelab malam.

Jika anda peminat Modern Talking, album ini wajib berada dalam simpanan kerana ia memuatkan 21 lagu popular mereka dari tahun 1985 hingga 2003 termasuk versi baru lagu Just We Two.

Ini termasuk lagu-lagu yang diberi nafas baru dan remix seperti Brother Louie (Bassflow 3.0 Single Mix), Brother Louie'99 (DJ Cappiccio Radio Edit), Brother Louie (Bassflow 3.0 Extended Mix), Give Me Peace On Earth (new hit version), You're My Heart You're My Soul (extended version so80's remaster by Blank & Jones) dan You're My Heart You're My Soul (Paul Masterson Dub).

INFO

ARTIS: Modern Talking

ALBUM: 30

TERBITAN/EDARAN: Sony Music

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 January 2015 @ 5:05 AM