EYKA Farhana dan Jaa Suzuran berjaya mewujudkan keserasian dalam filem Autumn in Wales.
EYKA Farhana dan Jaa Suzuran berjaya mewujudkan keserasian dalam filem Autumn in Wales.

FILEM: Autumn in Wales

PENGARAH: Rahila Ali

PENULIS SKRIP: Amirul Haswendy

PELAKON: Eyka Farhana, Jaa Suzuran, Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Aznan, Amirul Haswendy, Fara Mendoza, Wanns Ahmad, Sissy Imann

TERBITAN: Pencil Pictures & Records Sdn Bhd

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

ANTARA filem tempatan terbaharu yang bakal menemui penonton adalah filem Autumn in Wales terbitan Pencil Pictures & Records Sdn Bhd.

Bakal ditayangkan di platform Astro First bermula 24 Mac ini, filem Autum in Wales arahan Rahila Ali ini mengetengahkan genre romantik komedi ringan.

Merujuk kepada judul filem ini sudah membuatkan saya tertanya-tanya, apakah jalan cerita yang dibawakan dalam filem ini.

Secara ringkasnya, ia mengisahkan mengenai perjalanan Aira lakonan Eyka Farhana yang mencari tunangnya, Darwish (Keith Foo) di Wales selepas Darwish memutuskan pertunangan mereka.

Walaupun dikecewakan, Aira masih menyimpan rasa cinta dan berharap dia dapat membantu memulihkan hubungan mereka.

ANTARA babak dalam filem berkenaan.
ANTARA babak dalam filem berkenaan.

Namun, usahanya membuahkan kekecewaan apabila Darwish kini sudah memiliki kekasih baharu, Marissa dan itu yang menjadi punca dia menamatkan hubungan cinta dengan Aira.

Aira tanpa sengaja bertembung dengan rakyat Malaysia yang bekerja di negara itu, Jaka (Jaa Suzuran) yang akhirnya membantunya untuk mendapatkan semula cintanya.

Dari situ bermulalah pelbagai konflik dan adegan mencuit hati antara Aira dan Jaka yang juga pernah berdepan kekecewaan dalam percintaan.

Bezanya, percintaan Jaka bukanlah antara lelaki dan wanita, sebaliknya sesuatu yang lebih luar biasa dan anda perlu menonton sendiri untuk menyaksikan lanjutan daripada filem ini.

Dari segi elemen komedi, masih ada beberapa babak yang saya sendiri kurang 'sampai'. Namun, usaha itu ada dan seperti yang saya jelaskan di awal artikel ini, ini adalah filem romantik komedi yang ringan.

Namun, kehadiran pelakon senior, Amyza Aznan dan Joey Daud benar-benar menghidupkan suasana dengan lawak bersahaja mereka.

Lakonan pelakon-pelakonnya juga tidak kurang hebat apabila Eyka benar-benar berjaya membawakan emosi seperti yang sepatutnya. Lakonan Jaa juga wajar diberikan pujian.

Dari segi jalan cerita, ia jelas dan tidak memerlukan penonton untuk terlalu banyak berfikir apa yang akan berlaku dalam babak-babak seterusnya.

Sejujurnya, ia mengingatkan saya kepada filem Istanbul Aku Datang yang pernah ditayangkan pada 2012.

Bagaimanapun, ada juga beberapa perincian kecil yang mungkin terlepas pandang oleh mereka yang bertugas di belakang tabir pasca produksi.

Antaranya, perbezaan waktu antara Malaysia dan Wales yang tidak dibuat dengan teliti dalam satu babak perbualan telefon antara Aira dengan ibu bapanya.

Dari sudut sinematografi, kalau kita bandingkan dengan filem-filem tempatan lain, filem ini juga tidak kurang hebatnya. Mungkin kerana lokasi-lokasi indah di Wales.

Dari sudut mesej yang disampaikan, jelas sekali penulis skrip dan pengarah menggarap satu jalan cerita yang mengajak penonton untuk tidak berlaku curang kepada pasangan masing-masing.

Mesej lain adalah mengenai cinta yang tidak memerlukan persamaan status mahupun kekayaan, namun boleh dipupuk andai kata ada rasa sayang.

Yang pasti, filem ini akan menjadi satu lagi filem ringan, yang tersaji buat peminat-peminat filem yang inginkan filem dengan corak sebegini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:30 AM