IBNOR Riza
IBNOR Riza
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur : Leher membengkak, hilang suara, kencing manis, darah tinggi, migrain dan tahap kolesterol kritikal.

Inilah masalah kesihatan yang dialami penyanyi popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, sekali gus membuatkan kerjaya nyanyiannya terganggu.

Ibnor ketika dihubungi berkata, dia mengalami masalah hilang suara dan leher membengkak sejak tiga bulan lalu.

Katanya, dia berjumpa doktor pakar dua minggu lalu dan dimaklumkan ada sel mati yang membentuk nanah di dalamnya.

"Saya nak buat pembedahan dan kena ambil darah. Rupa-rupanya saya ada masalah kencing manis, darah tinggi, migrain dan kolesterol tahap kritikal.

"Namun, saya bersyukur buah pinggang dan jantung okey. Mula-mula bacaan gula dalam darah ialah 22. Sekarang menurun kepada 11.9," katanya kepada Harian Metro.

Penyanyi yang popular dengan lagu Meneka Dalam Kesamaran dan Mimpi Yang Tak Sudah ini berkata, disebabkan masalah itu, dia terpaksa menolak banyak undangan menyanyi kerana kehilangan suara.

"Batuk tiada dan sakit tekak pun tiada tetapi suara dah macam bunyi itik. Jadinya dah tiga bulan saya tiada pendapatan. Memang saya sangat terkesan dengan kos perubatan yang dikeluarkan dan segala perbelanjaan lain.

"Perkara ini buat semangat saya makin merudum kerana saya adalah ketua keluarga dan semuanya dalam tanggungjawab saya," katanya.

Sementara itu, penderitaan Ibnor turut dikongsi pelakon dan pengarah terkenal, Fauziah Ahmad Daud di media sosial.

Fauziah atau Ogy berkata, Ibnor kini berdepan dugaan dengan pelbagai penyakit yang datang dengan serentak pada masa yang sama iaitu tekanan darah tinggi mendadak, kencing manis dengan bacaan tinggi, migrain yang susah dikawal dan bengkak leher yang berpunca dari sel yang mati dan membentuk cecair nanah yang perlu membuat pembedahan.

"Tetapi terpaksa ditangguhkan atas nasihat doktor pakar, oleh kerana bacaan gula dalam darah terlalu tinggi. Maka dengan itu tidak dinasihatkan untuk menjalani pembedahan oleh kerana gula dalam darah terlalu tinggi buat masa ini.

"Kolesterol yang kritikal, buasir yang membengkak dan kehilangan suara. Allahuakbar...inilah yang dihadapi sahabat kita Ibnor Riza," tulisnya.

Fauziah dengan rendah hati memohon kepada semua agar mendoakan yang terbaik buat Ibnor.

Dia turut menyertakan nombor akaun peribadi Ibnor iaitu 114478024958 (Maybank) sekiranya ada yang mahu menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 11:12 AM