Showcase Ernie Zakri di Nero Event Space, PJ Pac One Utama. FOTO Amirudin Sahib
Showcase Ernie Zakri di Nero Event Space, PJ Pac One Utama. FOTO Amirudin Sahib
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya : Penyanyi, Ernie Zakri memohon doa orang ramai terutama peminat yang hadir ke persembahan This Is Ernie Zakri Showcase, di sini, malam tadi, untuk bapa mentuanya, Mohd Fodzly yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan jangkitan kuman di paru-paru.

Ernie dalam nada sebak mengucapkan terima kasih kepada suaminya yang juga penyanyi, Syamel kerana sudi meluangkan masa untuk hadir ke acara persembahan solonya itu.

"Saya sangat sedih dan saya minta doa baik anda semua untuk mendoakan bapa mentua saya yang kini berada di ICU. Suami saya bergelut sama ada nak tengok ayah atau isterinya, tapi tetap datang ke sini untuk menyokong saya. Terima kasih," katanya.

Ernie juga meminta semua peminatnya supaya menghargai orang di sekeliling dan luahkan rasa sayang itu kepada mereka.

"Jadi, kepada yang ada pasangan atau siapa pun yang kita sayang, tak kira keluarga atau kawan-kawan, walau rasa malu nak luah betapa kita sayang mereka, luahkan. Sekarang kita tak tahu sebab bila-bila masa saja kita takkan jumpa orang yang kita sayang.

"Minggu lalu, saya kehilangan dua insan yang saya sayang. Jadi telefon orang kita sayang dan luahkan. Kalau tak luah, kita tak tahu," katanya.

Terdahulu, Syamel memuat naik hantaran di Instagram, berkongsi keadaan terkini bapanya.

"Minta jasa baik semua untuk mendoakan kesembuhan ayah kesayangan saya yang kini berada di ICU kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

"Tiga hari sudah berlalu, alhamdulillah keadaan ayah semakin baik. Sama-sama kita doakan," katanya.

Acara yang berlangsung di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) itu menyaksikan Ernie menyampaikan lagu-lagu popularnya dan turut dihadiri rakan-rakan seperjuangan antaranya Wany Hasrita, Nabila Razali, Amira Othman dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 10:55 PM