Syamel dan Ernie Zakri.
Syamel dan Ernie Zakri.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi Ernie Zakri berkongsi khabar gembira apabila mengesahkan dia kini hamil empat bulan.

Ernie berkata, sepanjang tempoh awal kehamilan dia tidak berdepan sebarang alahan teruk, namun memasuki trimester kedua dia sudah mula berasa sensitif terhadap makanan dan mengalami alahan. "Alhamdulillah usia kehamilan saya sudah memasuki 16 minggu iaitu sekitar empat bulan. Ketika trimester pertama semuanya okay, saya tidak mengalami sebarang alahan. Namun, memasuki trimester kedua ini saya sudah mula sensitif terhadap makanan pedas dan berminyak. Saya akan muntah-muntah serta sudah mula mengalami alahan seperti yang dilalui kebanyakan ibu mengandung," katanya kepada Harian Metro. Menurut Ernie, dia tidak pernah berniat untuk menyorok kehamilan sulungnya itu, sebaliknya berharap orang ramai memahami situasi dan keadaan yang dilalui dirinya dan suami yang juga penyanyi, Syamel yang kehilangan ibu tercinta bulan lalu.

"Sebenarnya kami memang nak berkongsi berita ini lebih awal tapi disebabkan ketika itu arwah umi Syamel jatuh sakit dan akhirnya meninggal dunia, kami rasa ia bukan waktu yang tepat untuk meraikan berita gembira ini.

"Biarlah keadaan kembali tenang dan seluruh ahli keluarga sudah cukup kuat dan reda dengan pemergian arwah umi. Kami tiada niat langsung nak sorok kehamilan. Jika ikutkan hati memang nak berkongsi lebih awal tapi tak terkeluar dalam waktu yang sangat sensitif untuk keluarga kami," katanya.

Ditanya adakah arwah ibu Syamel, Allahyarham Wan Faaizah Karim sempat mengetahui berita kehamilannya, Ernie berkata, arwah begitu teruja sebaik mengetahui perkara itu.

"Sebelum umi nak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), kami sempat membuat panggilan video dengannya. Alhamdulillah umi sangat gembira dan teruja.

"Kami bersyukur sangat apabila umi serta seluruh ahli keluarga sudah mengetahui berita gembira ini. Cuma sedih apabila arwah tak sempat untuk melihat cucu sulungnya," katanya.

Wan Faaizah meninggal dunia pada 23 Ogos lalu selepas dua bulan dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu kota akibat kekurangan oksigen.

Syamel dan Ernie mendirikan rumah tangga pada 26 Mac lalu di Masjid Puncak Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 9:41 PM