Shahrulezad (kiri) memohon doa orang ramai buat penulis novel popular, 7 Hari Mencintaiku iaitu Siti Rosmizah.
Shahrulezad (kiri) memohon doa orang ramai buat penulis novel popular, 7 Hari Mencintaiku iaitu Siti Rosmizah.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penerbit dan pengarah drama, Shahrulezad Mohameddin memohon doa orang ramai buat penulis novel popular, 7 Hari Mencintaiku iaitu Siti Rosmizah yang kini kritikal akibat dijangkiti Covid-19.

Difahamkan Siti Rosmizah atau nama sebenarnya Siti Rosmizah Semail berada di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital untuk rawatan lanjut kerana dijangkiti Covid-19 berikutan kesihatannya berada pada tahap kritikal.

"Allahuakbar, sama-samalah kita mendoakan kesembuhan buat Siti Rosmizah yer, kawan-kawan sekalian. Covid is not joke (Covid bukan gurauan)."Jadi, tolong jaga-jaga semua. Kita belum masuk ke fasa endemik lagi," katanya yang pernah dijangkiti Covid-19 dan menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh pada November 2021 lalu.

Berkongsi pengalamannya, Shahrulezad yang juga pengarah drama Nur dan Nur 2 berkata, ia pengalaman pahit yang tak akan dilupakan sampai bila-bila sepanjang hayatnya kerana Covid-19, wabak yang bahaya.

"Pengalaman yang memeritkan. Malah, boleh dikatakan setiap hari saya cuba update (kemas kini) tahap kesihatan diri kepada orang ramai. Tujuannya, saya amat berterima kasih dengan doa-doa yang dititipkan mereka buat saya selama sakit itu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur diberi kesembuhan oleh Allah daripada Covid-19, dan semuanya itu saya tahu atas berkat doa-doa orang ramai juga, selain doa serta kekuatan samangat daripada diri saya sendiri," katanya.

Justeru, dipohonkan kini doa buat kesembuhan Siti Rosmizah juga. Shahrulezad berkata, dia yakin doa-doa ikhlas daripada orang ramai secara tidak langsung membantu juga kepada mereka yang sakit untuk mendapat kesembuhan daripada Allah.

Terdahulu, perkongsian berita berkenaan Siti Rosmizah kritikal akibat Covid-19 di ICU dimuat naik menerusi satu hantaran di akuan Instagram miliknya, hari ini.

Dalam perkongsian itu, dimohon sahabat-sahabat yang mengenali Siti Rosmizah agar mendoakannya untuk kembali pulih dari Covid-19 yang dijangkiti. Malah, dimaklumkan juga keadaannya dalam kritikal menerusi hantaran terbabit.

Meninjau ke ruangan komen di Instagram Siti Rosmizah, ramai pada kalangan selebriti dan pembaca novel yang mengikutinya mendoakan agar wanita itu kembali sihat, pulih dan sembuh semula seperti sedia kala dari Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2023 @ 5:02 PM