DIANA.
DIANA.
Oleh Rudy Syareme Sheriffudin


Faktor kesibukan dalam kerjaya menjadi punca utama runtuhnya mahligai cinta pelakon dan penyanyi, Diana Rafar, 34, bersama suami yang juga pelakon, Zamarul Hisham yang dibina atas dasar cinta selama enam tahun pada 14 Januari tahun lalu.

Diana atau nama sebenarnya Adiana Abdul Rafar ketika ditemui di Pulau Pinang, baru-baru ini, menceritakan pengalaman pahit kehilangan insan tersayang yang juga cinta pertama baginya.

Bukan ingin membuka pekung di dada, tetapi hikmah perpisahan selama empat bulan benar-benar mematangkan dirinya.

Menurut Diana, jodoh mereka begitu kuat dan kini bibit kemesraan ketika mula bercinta dulu kembali berputik selain memberi ruang membaiki segala kelemahan yang ada.

Diana dan Zamarul berkahwin pada 16 Mei 2009 sebelum bercerai pada 14 Januari tahun lalu. Mereka kemudian rujuk kembali pada 14 Februari tahun lalu.

“Sebagai bukti cinta ini, saya abadikan segala luahan jiwa pada single terbaru berjudul Takku Mampu hasil nukilan Bad Hisham dan lirik Hairul Anuar Harun tidak lama lagi.

“Lagu berkonsep balada itu terhasil dengan penuh rasa jiwa. Ia adalah cerita sebenar diri saya dan segala kenangan mahupun peristiwa pilu diabadikan dalam lagu,” katanya.

Bekas penyanyi kumpulan GIM ini yang mula terbabit dalam dunia seni sejak berusia lima tahun kini turut bergelar usahawan berjaya dan dilantik sebagai duta pelbagai produk.

“Allah menguji kami dan apa yang berlaku dulu menjadi kenangan pahit buat kami berdua. Saya berharap ia tidak berulang lagi di masa akan datang.

“Saya mengharapkan ia adalah yang terakhir buat kami berdua dan paling penting kini kami bahagia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 9:02 AM