Hawa Rizwana
Hawa Rizwana
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Saya mohon maaf dan akan lebih berhati-hati dalam soal pemilihan pakaian selepas ini," kata pengacara Hawa Rizwana mengenai penampilannya yang berseluar ketat ketika menghadiri satu acara sekali gus mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.

Hawa berkata, dia menyedari segala kecaman serta komen negatif yang dilemparkan dan menerima segala teguran dengan hati terbuka.

"Saya tiada niat nak buat orang marah atau sakitkan hati mana-mana pihak. Saya menerima setiap komen yang diberikan dengan positif.

"Foto yang dikongsikan itu adalah ketika saya mengendalikan sebuah acara yang bertemakan rock. Jadi saya mengupah penata gaya untuk sediakan busana yang bersesuaian dengan tema acara itu.

"Saya akui suka berkarya apabila berfesyen, terutama ketika menghadiri sesebuah acara. Tapi kalau ada waktu terluang saya lebih selesa dengan penampilan yang kasual dan santai," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hawa, dia mengakui setiap foto yang dimuat naik di media sosial akan melalui proses 'saringan' dengan orang di sekelilingnya.

"Sebelum saya kongsikan gambar atau video di media sosial, saya selalu minta pandangan daripada rakan terdekat dan ahli keluarga.

"Jika perkongsian itu tidak bersesuaian dengan saya, selalunya saya akan padam. Bagi saya, komen daripada ahli keluarga dan rakan-rakan sangat penting.

"Jadi dalam situasi ini saya sedar mungkin fesyen yang digayakan kurang senang di mata sesetengah pihak. Saya sekali lagi mohon maaf," katanya.

Terdahulu Hawa yang dikenali dengan imej muslimah dikatakan tidak sesuai mengenakan pakaian terlalu ketat, apatah lagi terkenal dengan imej berhijab selain berperwatakan lemah-lembut.

Menerusi perkongsian gambar itu di Instagram, Hawa dikecam gara-gara mengenakan seluar hitam kulit yang ketat dan dipadankan dengan baju-T gelap serta jaket.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 2:01 PM