Mokhzani Ismail
Mokhzani Ismail
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Lagu Terus Hidup ciptaan penyanyi Aina Abdul yang berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu 37 (AJL) mencetuskan reaksi kurang senang dalam kalangan netizen apabila mendakwa lagu yang disusun oleh penerbit dan penggubah, Jenny Chin itu turut bertindak sebagai juri untuk Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM).

Menyedari perkara berkenaan, ketua juri SFMM37, Datuk Mokhzani Ismail menegaskan, pihaknya sudah mengambil maklum daripada awal berhubung juri yang mempunyai kaitan dengan 30 lagu yang dipertandingkan pada edisi kali ini. 

Katanya, mana-mana juri yang terbabit dalam pembikinan sesebuah lagu yang dipertandingkan mereka tidak dibenarkan untuk menjuri lagu terbabit. 

"Industri seni ini kecil dan individu yang layak untuk menjuri juga tidak ramai. Jadi, sebagai ketua juri saya sudah maklumkan kepada juri, sekiranya ada terbabit sebagai pengubah atau penerbit jangan menjurikan lagu berkenaan. 

"Malah, penyiar dan pihak produksi juga sudah ambil maklum perkara ini. Saya tahu perkara ini daripada awal lagi dan tidak akan melayan perkara sebegini. 

"Sebenarnya situasi sama pernah terjadi sebelum ini kepada komposer Helen Yap. Dia sendiri mengaku dan terbabit dalam pembikinan lagu yang dipertandingkan. Namun, saya masih perlukan kepakarannya ketika itu untuk menjurikan kerana kita nak set juri yang berbeza. 

"Sama juga seperti Jenny Chin yang dilantik sebagai juri pada edisi kali ini.  Beliau sudah terbabit ketika zaman Allahyarham Datuk Sudirman. Malah, sepanjang pembabitannya dalam bidang seni, dia tidak pernah menjurikan acara ini dan saya tahu dia mempunyai kepakaran sebagai juri serta berkelulusan tinggi," katanya. 

Selain Mokhzani dan Jenny Chin, juri SFMM37 turut diadili oleh Damien, LY, Azlan Abdul Hassan, dan Cikgu Shafi. 

Menurut Mokhzani, penganjuran SFMM37 boleh disifatkan antara SFMM yang paling sukar untuk dinilai apabila kesemua 30 lagu yang terpilih memiliki kreativiti dan kehebatan tersendiri. 

"Pada sudut penjurian, saya perlu menyatakan SFMM37 antara paling sukar untuk saya dan barisan juri memilih 12 lagu terbaik daripada 30 lagu yang dipertandingkan. 

"Antara kesukaran yang dihadapi adalah semua genre disekalikan yang mana 70 peratus dari 30 lagu itu bergenre pop dan balada. Dan selebihnya, adalah lagu pop kreatif dan juga lain-lain genre. 

"Jadi dalam memberi pengiktirafan kepada semua pengkarya seni, kita tidak boleh boleh melihat pada satu genre saja. Sebab itu, saya dan barisan juri melihat daripada semua aspek supaya pemilihan 12 lagu menepati semua genre yang ada. 

"Saya akui markah setiap lagu agak dekat, lebih-lebih lagi lagu nombor satu sehingga 15. Bagaimanapun, saya amat berpuas hati dengan rata-rata lagu yang tersenarai, semuanya bagus-bagus," katanya. 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 7:12 PM