Kumpulan Soda muncul juara Gelanggang Awesome Raja Lawak. FOTO Eizairi Shamsudin
Kumpulan Soda muncul juara Gelanggang Awesome Raja Lawak. FOTO Eizairi Shamsudin
Norhayati Nordin


Petaling Jaya: Kemenangan kumpulan Soda meraih wang tunai RM50,000 bakal merealisasikan impian seorang anggotanya, Danny, 27, untuk melangsungkan perkahwinan dengan wanita pilihan pada Mei, tahun depan.

Selain Danny atau nama sebenarnya, Danieal Aidid Jamil, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, Soda juga dianggotai Sofwan Fathi Roosle atau Wan, 29, yang bertugas di pusat panggilan TDCX Malaysia.

Wan berkata, dia dan Danny bersyukur dengan kemenangan itu kerana mereka bermula sebagai pelawak solo di Comedy Planet di bawah bimbingan pelakon, pengarah, pengacara dan pelawak 'otai', Datuk Afdlin Shauki pada 2018 lalu.

"Alhamdulillah, dengan rezeki kemenangan ini Allah salurkan untuk membantu permudahkan urusan perkahwinan Danny pada Mei, tahun depan. Selain bagi saya pula, duit ini akan digunakan untuk membahagiakan ibu bapa dan langsaikan hutang-hutang yang ada.

"Kami harap Soda akan terus mendapat peluang untuk kembangkan bakat dalam industri. Bagaimanapun, sebagai 'pemain baharu', kami juga belum terfikir untuk meninggalkan kerja tetap sedia ada. Kami masih perlu masa untuk belajar lagi dalam bidang lawak ini," katanya kepada Harian Metro.

Malam semalam, kumpulan Soda dinobatkan sebagai juara program Awesome Raja Lawak (ARL) musim pertama yang membawa pulang trofi serta hadiah wang tunai RM50,000.

Naib juara menjadi milik kumpulan Se'eh yang membawa pulang trofi serta wang tunai RM25,000. Manakala, tempat ketiga dimenangi kumpulan Mabo yang menerima RM15,000 dan trofi.

Bagi tempat keempat diraih oleh peserta solo lelaki, Azhar, tempat kelima, kumpulan Sedare dan tempat keenam, kumpulan Manja, yang masing-masing menerima hadiah berupa trofi.

Pada gelanggang akhir ARL yang bertemakan persembahan Bebas dan Muzikal itu, sketsa komedi enam finalis bersaing diadili tiga juri profesional iaitu pelawak otai, Saiful Apek, pelakon, Khir Rahman dan penyanyi, Ayda Jebat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 1:38 PM