BOCEY Bocey bergambar bersama piala selepas menjadi juara Maharajalawak Mega 2017, di Dewan Wawasan Jitra, Kedah. FOTO Amaran Hamid
BOCEY Bocey bergambar bersama piala selepas menjadi juara Maharajalawak Mega 2017, di Dewan Wawasan Jitra, Kedah. FOTO Amaran Hamid
Aizat Sharif


KUMPULAN Bocey mengekalkan kejuaraan kali kedua berturut-turut apabila dinobatkan sebagai juara pada pentas akhir program Maharaja Lawak Mega (MLM) 2017, di Jitra, Kedah, malam tadi.

Bocey menewaskan empat lagi peserta yang layak ke peringkat akhir iaitu, Shiro, Puteh, Zero dan pelawak solo dari Indonesia, Dzawin dalam program yang diadakan secara langsung di Dewan Wawasan.

Bocey pernah menjadi juara edisi MLM, tahun lalu.

Kemenangan kumpulan yang dianggotai oleh Abam, Fad dan Achey itu membolehkan mereka membawa RM500,000 tunai dan trofi sumbangan Astro.

"Alhamdulilah dan terima kasih kepada semua yang menyokong kami.

"Ini adalah kemenangan yang bermakna dan dengan peminat banyak menyokong. Kami berjaya sekali lagi pada malam ini," kata Fad selepas menerima hadiah kemenangan itu.

Selain itu, Syaiful dari Kumpulan Zero dipilih memenangi kategori Man of The Match pada pentas akhir MLM2017.

Gelaran naib juara pula diungguli oleh kumpulan Shiro yang menerima RM250,000 tunai berserta trofi.

Sementara itu, Dzawin peserta tunggal dari negara seberang ternyata tidak mengecewakan apabila mendapat tempat ketiga dengan merangkul RM150,000 tunai dan trofi.

Zero di tempat keempat seterusnya memenangi RM50,000 tunai dan trofi.

Puteh pula yang terpaksa berpuas hati di tempat kelima menerima RM15,000 tunai dan trofi.

Hadiah disampaikan pelawak veteran, Abdul Rasip Yahya atau lebih dikenali sebagai Mat Sentol dan pelakon dan pengarah yang juga juri tetap MLM 2017, Datuk Rosyam Nor manakala Datuk AC Mizal bertindak sebagai pengacara.

Semua peserta diwajibkan membuat dua persembahan yang bertemakan 'Bebas' dan 'Muzikal'.

Selain Royam, persembahan peserta turut diadili oleh tiga lagi juri tetap iaitu pelakon dan pengacara Neelofa, pengacara Datuk Aznil Nawawi dan pelakon Indonesia, Luna Maya.

Turut hadir dalam program berkenaan adalah Angah Raja Lawak dan selebriti masakan terkenal negara, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 8:35 AM