HATI Jee sangat tenang sehingga terlintas untuk menetap di Tanah Suci.
HATI Jee sangat tenang sehingga terlintas untuk menetap di Tanah Suci.
Sudirman Mohd Tahir


Dalam nada sebak dan mata berkaca, penyanyi terkenal Fauziah Latiff berkongsi pengalaman mengerjakan ibadat haji bersama ibunya tahun lalu.

Fauziah, 48, berkata, sepanjang di Makkah hatinya sangat tenang dan terfikir untuk menetap di sana.

Ketika wukuf di Arafah, Fauziah yang mesra disapa Jee tersentuh dan menyifatkan dirinya manusia paling bodoh serta hina.

“Alhamdulillah, perjalanan ibadat dari awal hingga habis dipermudahkan Allah SWT. Begitu juga dengan hubungan sesama jemaah lain, mereka sangat baik. Saya tidak dapat nak gambarkan perasaan ketika berada di sana.

“Ditambah pula hotel penginapan saya dekat dengan Masjidil Haram. Keluar hotel terus nampak Kaabah. Di sana saya hanya fikir soal ibadat dan tak ingat langsung soal kerja atau perkara lain. Pendek kata, perasaan bersyukur yang tak dapat gambarkan.

“Apa saya boleh simpulkan, perjalanan di sana sangat menyentuh hati terutama ketika di Arafah. Saya kosong ilmu berkenaan semua ini. Sebelum ke sana rakan ada pesan, di sana kita insan kecil dan tidak ada apa-apa. Sampai saja, saya terus sujud dan berdoa, saya orang paling bodoh, hina dan harap dipermudahkan. Di situ juga saya terus teringat begitulah keadaan ketika di Padang Mahsyar nanti apabila kita tercari-cari emak, bapa dan anak sendiri. Semua ini kuasa Allah. Di dunia hanya sementara saja,” katanya.

Fauziah yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu berkata, sehari sebelum pulang ketika menaiki bas meninggalkan Makkah, dia menangis kerana tidak mahu meninggalkan tempat suci itu.

“Sesiapa yang pernah pergi ke sana sama ada mengerjakan umrah atau haji, pasti merasai perkara sama. Kerinduan untuk kembali ke sana sangat kuat. Bukan saja rindu, saya rasa tak nak balik.

“Ketika naik bas nak balik, saya menangis sekuat-kuatnya. Saya tidak tahu bila lagi boleh ke sana. Kalau nak tahu, di sana sangat tenang. Saya tidak dapat nak gambarkan macam mana. Saya ingin ke sana lagi, tetapi bukan untuk menunjuk. Kita kena faham perjalanan keseluruhan ibadat.

“Sepanjang di sana, saya tidak berkongsi banyak gambar kerana ini ibadat tetapi selepas beberapa hari baru saya memuat naik di laman Instagram. Namun ia membabitkan perasaan saja. Saya berharap sesiapa yang belum pergi akan dapat jejak ke Makkah juga,” katanya.

Ditanya apakah doa yang diminta ketika berada di sana, Fauziah hanya inginkan yang terbaik untuk dirinya dan orang sekeliling.

“Saya banyak berdoa untuk kebaikan dan berikan yang terbaik saja, malah saya juga berdoa kepada Allah dan minta kepada emak ingin jadi diri sendiri. Saya tidak mahu hipokrit.

“Saya tahu apa saya buat. Melihatkan penampilan saya sekarang, orang akan cepat menilai. Bagi saya ini bahagian mereka dan begitu juga saya,” katanya.

Cerewet dengan lagu

Berkongsi mengenai kerjaya nyanyiannya, kali terakhir Fauziah muncul dengan single Takdir Cinta dua tahun lalu.

“Insya-Allah, lagu baru dalam proses. Saya baru saja dapat lagu yang betul-betul kena dengan jiwa saya. Lagu berentak balada ini dalam proses disiapkan oleh penerbit dan disesuaikan dengan lirik.

“Saya tahu peminat selalu bertanya mengenai lagu baru. Saya pula jenis kalau tidak ada produk baru, lebih suka berada di belakang dan buat kerja lain. Namun, kalau nak tahu saya masih menyanyi dan menjayakan persembahan korporat. Cuma ia tidak dapat liputan media. Saya minta maaf kepada peminat yang sentiasa bertanya,” katanya.

Fauziah yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu 1993 mengakui sangat cerewet dalam penghasilan lagu.

“Saya sangat cerewet dalam pemilihan lagu. Saya takut nak kecewakan orang. Saya tidak berani keluar dengan produk jika kualitinya tidak seperti diharapkan.

“Jadi kalau lagu berkenaan betul-betul kena dengan jiwa, baru saya okey. Macam lagu ini, ia baru dan segar. Apabila sudah ada kepastian, baru saya boleh kongsi. Apa boleh dikatakan, saya sangat puas hati dengan lagu ini,” katanya.

Fauziah juga berbesar hati sekiranya ada pihak sudi menaja untuknya menjayakan persembahan mini atau konsert.

Mengenai lakonan pula, Fauziah yang pernah muncul menerusi drama Gelora Di Hati Sara pada 2009 berkongsi hingga sekarang dia masih dapat tawaran berlakon.

“Lakonan ada lagi tawaran tapi masa tidak mengizinkan. Saya masih banyak lagi nak kena belajar dalam lakonan. Kalau berlakon pun, saya letakkan diri sebagai junior.

“Bagi saya, berlakon satu tugasan baru dan memberikan cabaran berbeza. Saya tidak sekadar berlakon, sebaliknya tengok keseluruhan produksi, skrip dan pelakon lain. Di lokasi pula, saya belajar daripada pelakon senior,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 3:06 AM