Datuk Jurey Latiff Rosli
Datuk Jurey Latiff Rosli
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) kesal dengan insiden yang menimpa pelakon Wafariena hingga mendatangkan kecederaan ketika menjalani penggambaran di Lenggong, Perak, pada 8 Oktober lalu.

Presiden PTVM Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, pihaknya memandang berat isu yang dibangkitkan demi menjaga nama baik penerbit TV tempatan.

"Kita difahamkan syarikat produksi ini adalah syarikat baru ditubuhkan dan pengarah juga pertama kali mengarah drama. PTVM ingin menasihatkan kepada syarikat penerbitan baru supaya melantik pekerja yang berpengalaman.

"Selain penerbit mempunyai kewangan yang banyak perlu juga ada ilmu supaya tidak diambil kesempatan oleh pengarah yang kurang berpengalaman. Kejadian yang berlaku kepada Wafariena amat dikesali yang sepatutnya tidak berlaku jika semua pekerja bersikap profesional dalam melaksanakan tugas," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jurey, aksi lagak ngeri bukan tugas pelakon dan pengarah tidak boleh memaksa seorang pelakon berbuat sedemikian.

"Tidak sepatutnya seorang pengarah memaksa pelakon melakukannya tanpa persediaan atau latihan. Pihak produksi juga perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan memastikan kebajikan artis dan krew diutamakan.

"PTVM akan memantau kes ini dan memberikan komitmen membantu pelakon atau kru yang teraniaya oleh penerbit atau pengarah yang tidak profesional," katanya.

Dalam masa sama, Jurey berkata pelakon itu ada berjumpa dengannya sehari sebelum kejadian itu.

"Malam sebelum kejadian dua pelakon cerita itu, Wafariena dan Nadia Brian ada berjumpa saya di Lenggong. Kebetulan mereka singgah di Cafe Teratak Kapten Rosli Lenggong sebelum memulakan penggambaran pada malam itu.

"Kedua mereka menyuarakan masalah masa bekerja yang sangat panjang sehingga memenatkan dan terpaksa mengharungi setiap hari sepanjang penggambaran. Kurang rehat dan tekanan kerja sehingga menjejaskan tumpuan lakonan dan kebajikan artis dan kru terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Oktober 2022 @ 12:24 PM