JUREY memberi arahan kepada Hazama.
JUREY memberi arahan kepada Hazama.
Sudirman Mohd Tahir


MENGAMBIL inspirasi daripada kisah hidupnya ketika berkhatan di usia 12 tahun iaitu pada 1978, penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli menerbitkan drama komedi, Potong yang ditayangkan setiap Selasa, jam 9 malam di saluran Astro Warna.

Menariknya, drama 17 episod itu menjalani penggambaran di tempat kelahiran Jurey iaitu di Lenggong, Perak selain turut menggunakan pisau yang sama ketika dia berkhatan di kampung datuknya di Kampung Ulu Lenggong, Lenggong.

Menurut Jurey, drama itu mengembalikan semula nostalgia lama selain mahu memaparkan kaedah lama digunakan untuk berkhatan.

"Potong adalah inspirasi daripada kisah benar kehidupan saya ketika masih kecil yang mana saya dikhatankan oleh Tok Mudim di kampung di Lenggong. Jadi, kisah ini inspirasi dari kejadian itu.

JUREY ketika mengarah drama Potong.
JUREY ketika mengarah drama Potong.

"Menerusi drama ini dipaparkan Tok Mudim duduk atas batang pisang dan menggunakan pisau sama ketika saya dikhatankan. Memang nostalgia. Apabila saya sampaikan idea ini pada Astro, mereka terima. Jadi, saya sangat bersyukur kerana dapat imbas kembali nostalgia masa kecil saya dan dijalankan di kampung saya," katanya.

Berbekalkan pengalaman lebih 20 tahun terbabit dalam bidang pengarahan, Jurey berkata, proses penggambaran berlangsung dengan jayanya dengan bantuan penulis skrip berpengalaman, MF Kencana.

"Dalam drama ini saya sebagai penerbit dan pengarah. Penulis skrip pula MF Kencana. Apabila dia sebagai penulis, memudahkan kerja saya sebagai pengarah dalam masa sama pengalaman saya selama lebih 20 tahun ini membantu kerja pengarahan ni.

"Apa yang lebih utama apabila saya menerbit dan mengarah di lokasi tanah kelahiran saya di Lenggong. Jadi, di sana saya mendapat kerjasama padu daripada penduduk kampung. Ketika ini menjalankan penggambaran ini, mereka sokong.

"Sebagai contoh, ada babak majlis perkahwinan di akhir episod yang mana pembabitan seluruh penduduk. Jadi, kerjasama yang erat mereka itu meninggalkan kesan buat saya.

DARI kanan, Kazar, Kamarol dan Hazama.
DARI kanan, Kazar, Kamarol dan Hazama.

"Dalam masa sama, drama ini mempromosikan lokasi menarik untuk pelancongan, memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat Lenggong dan mewujudkan peluang bakat lakonan kepada anak tempatan Lenggong," katanya.

Mengenai pemilihan pelakon utama iaitu Hazama dan Kazar, Jurey berkata, ia atas persetujuan bersama pihak Astro.

"Apabila nak buat cerita komedi, kita fikir siapa yang layak bawakan setiap watak. Jadi, kami berbincang dengan Astro, mereka memberi cadangan Hazama dan saya pun bersetuju. Saya juga beri cadangan nama Kazar bagi watak Tok Mudim.

"Jadi, kedua-dua mereka memantapkan lagi karya ini. Gandingan mereka meninggalkan kesan baik untuk drama ini. Saya difahamkan daripada pihak Astro, drama ini bakal ditayangkan di Indonesia. Ia satu lagi penghormatan dan penghargaan buat saya secara peribadi dan industri penerbitan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 6:12 AM