Jurey Latiff Rosli
Jurey Latiff Rosli
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berterima kasih terhadap Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) atas inisiatif membantu industri kandungan kreatif tempatan ketika pandemik Covid-19.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, usaha keras Finas sejak awal negara dilanda Covid-19 ternyata memberikan sinar kepada penggiat industri dengan penyaluran dana bagi meransang pertumbuhan ekonomi industri kandungan kreatif.

"Ketika kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengawal virus Covid-19, Finas berusaha menyediakan prosedur operasi standard (SOP) agar industri kreatif dapat dibuka seterusnya membantu penggiat seni bekerja mencari rezeki.

"Satu lagi usaha bersepadu Finas untuk mempercepatkan proses vaksinasi kepada pekerja industri kreatif adalah dengan menawarkan Finas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) cadangan ini sangat baik dan disokong penuh oleh PTVM.

"Agak malang selepas lebih sebulan permohonan Finas, dikhabarkan bahawa cadangan PPV Finas ini masih belum ada maklumbalas dan ura-ura mengatakan ia ditolak oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)," katanya.

Jurey menyifatkan, adalah malang usaha yang baik oleh pihak Finas ini ditolak memandangkan usaha ini dapat membantu kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok kepada seluruh rakyat Malaysia.

"PTVM memohon penjelasan pihak MOSTI berkaitan perkara ini memandangkan usaha Finas ini akan dapat membantu pihak syarikat penerbitan menyelesaikan masalah kru dan artis yang masih belum mendapat vaksin bagi membolehkan mereka memulakan pengambaran drama selari dengan keputusan kerajaan yang meluluskan SOP pengambaran drama di negeri fasa kedua.

"Keputusan untuk tidak meluluskan PPV Finas ini seolah menganaktirikan pekerja industri kreatif yang semuanya adalah warganegara Malaysia memandangkan pihak MOSTI membenarkan PPV khas untuk pekerja asing divaksin beramai-ramai.

"Pekerja industri kreatif adalah rakyat yang mengundi kerajaan maka kerajaan seharusnya lebih peka dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan warganegara sendiri," katanya.

PTVM menuntut penjelasan MOSTI apakah alasan penolakan PPV Finas dan seterusnya berharap pihak kerajaan terutama Perdana Menteri dapat mempertimbangkan memberikan kelulusan PPV Finas ini pada kadar segera.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 10:55 AM