GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar definasi studio diperluaskan kepada kepada set penggambaran drama atau filem.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli, berkata, PTVM berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang berusaha mendapatkan kelulusan MKN berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri kreatif di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Usaha Finas ini sedikit sebanyak membantu syarikat penerbitan utk meneruskan aktiviti pengambaran. PTVM yakin semua pihak menyokong usaha kerajaan dalam menangani virus Covid-19 dan sentiasa akur segala SOP.

"Namun, jumlah studio perfileman yang berdaftar adalah amat sedikit berbanding majoriti syarikat penerbitan yang menjalankan aktiviti penggambaran samada dibina khas atau sedia ada untuk dijadikan lokasi pengambaran," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jurey, cadangan ini dibuat mengambil kira segala SOP yang dipatuhi bagi kebenaran penggambaran di studio seperti yang diumumkan.

"Syarikat penerbitan sudah mematuhi syarat untuk Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) Khas dengan melakukan ujian saringan dan lain-lain syarat yang dikuatkuasakan Finas.

"PTVM mengusulkan cadangan ini selepas mendapat rungutan daripada ahli persatuan dan penerbit yang terkesan akibat tidak dibenarkan melakukan penggambaran kecuali di dalam studio dan di premis seni yg berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Kesan daripada isu ini, syarikat produksi dikejar stesen TV berkenaan kontrak dan tarikh tayangan program," katanya. 

Jurey berkata, PTVM sekali lagi memohon agar definasi studio diperluaskan, dengan SOP yang MKN dan Finas syaratkan sudah ketat dan dipatuhi. 

"Kita belum banyak ada studio begini di Malaysia. Juga, kita belum sediakan infrastruktur seperti Korea atau Hollywood.

"Saya percaya Finas sedar mengenai kontrak dan tarikh tayangan manakala MKN saya tidak pasti. 

"Seperkara lagi, bukan semua cerita atau kandungan boleh dibuat di studio. Semua drama atau program TV sudah dipersetujui oleh stesen, jadi penerbit tidak boleh ubah sesuka hati untuk buat semua penggambaran dalam studio," katanya.

Dalam masa sama Jurey berkata, sekiranya penerbit perlu membina semua set dalam studio untuk penggambaran babak dalam rumah, kedai atau restoran, ia menggunakan kos tinggi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 1:20 PM