Jurey Latiff Rosli.
Jurey Latiff Rosli.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) tidak bersetuju sekiranya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut menyenaraihitamkan penerbit dalam isu membabitkan pengarah, penolong pengarah dan pelakon yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah di lokasi penggambaran di Perak, Ahad lalu.

Presidennya, Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, penerbit bagi produksi itu tidak wajar dipersalahkan memandangkan setiap kru dan pelakon perlu berkelakuan baik sepanjang proses penggambaran seperti yang termaktub dalam kontrak.

"Penerbit tidak boleh dipersalahkan dalam hal ini. Kalau Finas ambil tindakan terhadap penerbit ini, ibaratnya dia adalah mangsa keadaan.

"Bagi saya, setiap pekerja perlu ada sikap tanggungjawab untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada majikan kerana penerbit yang membayar gaji mereka. Malah di dalam mana-mana kontrak kerja juga termaktub untuk mereka menjaga kelakukan dan mematuhi undang-undang Malaysia.

"Syarikat produksi juga tidak tahu siapa dalam kalangan pekerja mereka yang mengambil dadah dan takkanlah setiap kali mahu ambil bekerja, kita perlu minta mereka menjalani ujian saringan air kencing terlebih dulu. Jika ujian calitan Covid-19, penerbit sedia maklum untuk memperuntukkan bajet tertentu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jurey, sepatutnya setiap kru produksi yang berdaftar dengan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) perlu mempunyai etika kerja yang profesional dan tidak sepatutnya menganiaya penerbit tempatan.

"Sepatutnya pekerja-pekerja dengan Profima perlulah profesional ketika bekerja dan jika ada yang didapati terbabit dengan dadah, Profima sepatutnya menyenaraihitam mereka.

"PTVM akan pertahankan syarikat produksi Zamriez Golden Pictures Sdn Bhd. Saya sudah pun berhubung dengan penerbitnya dan sudah meminta dia untuk mengeluarkan surat mengenai insiden yang berlaku.

"Disebabkan orang lain yang buat hal di luar waktu kerja, kini penerbit pula yang terbeban dan seolah-olah kena 'scam' apabila Finas memaklumkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) dan Dana Kandungan Digital (DKD) akan dibatalkan pembiayaan sekiranya terbukti ada kecuaian dalam kes yang berlaku.

"Kami harap perkara ini boleh duduk berbincang dengan Finas dan mencari jalan penyelesaian kerana penerbit terbabit juga kini berdepan kerugian akibat kesalahan orang lain,"katanya.

Terdahulu Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan akan menyenaraihitamkan penerbit, kru produksi dan pelakon yang terbukti terbabit dalam isu penyalahgunaan dadah dan penularan kes positif Covid-19 di lokasi penggambaran di Perak, baru-baru ini.

Tidak hanya itu, jika terbukti ada kecuaian pematuhan SOP dan penyalahgunaan dadah, Finas juga akan menarik balik kelulusan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:13 PM