Nazim Othman ketika bercuti di Nusa Tenggara, Indonesia.
Nazim Othman ketika bercuti di Nusa Tenggara, Indonesia.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Percutian 'kayangan', bukan biasa-biasa dan mewah."

Itu antara komen warganet apabila setiap kali pelakon popular, Nazim Othman memuat naik hantaran video atau gambar dia bercuti.

Nazim, 38, berkata, perkongsian itu lebih kepada ekspresi dirinya yang gemar melancong dan bercuti ke lokasi menarik.

"Tak adalah sampai tahap 'kayangan' atau mewah. Saya macam orang lain juga pergi bercuti dan berkongsi di media sosial. Malah, lokasi percutian pun orang lain ada pergi juga.

"Cuma mungkin mereka melihat percutian saya menjadi luar biasa disebabkan hantaran video yang siap disunting. Itu menjadikan ia lebih menarik. Malah, saya sendiri pun kalau boleh nak paparkan apa yang menarik di tempat percutian itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nazim yang popular menerusi drama Takdir Yang Tertulis, peluang dapat bercuti akan dimanfaatkan sebaiknya.

"Bagi yang mengikuti saya di media sosial, semua tahu saya jenis yang kuat bekerja. Malah, ada masa berbulan lamanya baru dapat cuti. Itu pun tak lama. Jadi, apabila ada waktu lapang, walau sekejap dalam beberapa hari saja pun, saya usahakan untuk pergi bercuti.

"Sebagai manusia biasa dan macam orang lain juga, tipu kalau kata tak penat bekerja tanpa henti. Jadi, setiap kali dapat peluang bercuti saya manfaatkan sebaiknya. Itu yang saya akan pilih lokasi yang menenangkan jiwa dan minda.

"Saya pula memang jenis yang sukakan lokasi percutian tepi pantai dan laut. Ia cukup mendamaikan," katanya.

Ditanya kos yang dihabiskan setiap kali pergi bercuti, Nazim yang kini berada di Labuan Bajo, Nusa Tenggara, Indonesia, berkata, dia tidak pernah meletakkan sebarang anggaran.

"Semua okay-okay saja. Tak ada yang mewah seperti difikirkan pun. Orang lain lagi mewah daripada saya. Cuma, mungkin perkongsian saya itu membuatkan lokasi berkenaan kelihatan mewah dan hebat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Oktober 2022 @ 3:46 PM