Mizz Nina. FOTO file NSTP
Mizz Nina. FOTO file NSTP
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Selebriti juga aktivis kemanusiaan, Mizz Nina, 42, bersyukur dan tidak menyangka dirinya dipilih sebagai salah seorang daripada penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1444H/2022M yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), semalam.

Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman dipilih menerima anugerah bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan, berikutan pelbagai sumbangan dan jasa sudah ditaburkannya dalam misi kemanusiaan dijalankan sehingga ke luar negara.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan anugerah yang tidak disangka-sangka ini. Saya rasa kurang layak untuk itu sebenarnya. Terdapat, ramai lagi pahlawan kemanusiaan yang lebih hebat daripada saya dengan lebih banyak pengalaman.

"Walau bagaimanapun, saya ambilnya sebagai peringatan untuk saya terus beramal, insya-Allah. Ini adalah kali pertama menerima anugerah sebegini," katanya menerusi kiriman mesej di Instagram.

Berkongsi aktiviti kemanusiaan terkininya, Mizz Nina berkata, buat masa ini, dia sedang menyebarkan kesedaran tentang bantuan banjir di Pakistan dan meneruskan sokongan untuk bantuan pelarian serta kempen di Gaza. Difahamkan Mizz Nina aktif membabitkan diri sebagai aktivis kemanusiaan sejak 2013. Malah, dia juga sudah melakukan misi bantuan kemanusiaan sehingga ke Palestin pada 2017 lalu.

Terdahulu pada 2016, Mizz Nina bersama rakan kongsinya ada mengasaskan saluran gaya hidup Islam iaitu Deen of Peace Studios atau DOPS TV Sdn Bhd yang menghasilkan beberapa siri TV dan rancangan bual bicara.

Tidak hanya itu, Mizz Nina juga komited untuk berkongsi dan memberi kembali kepada masyarakat menerusi jalinan kerjasama dibuat dengan pelbagai organisasi seperti Cinta Syria Malaysia, 1moment4them, Possible Dreams International, Feeding The Needy, Miasa dan Into Taqwa Malaysia untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

Pada Mei tahun lalu, menerusi Tabung MyAqsa Defenders (MAD) yang disertai 20 badan bukan kerajaan (NGO), selebriti dan ikon kemanusiaan dikhabarkan berjaya mengumpul dana hampir RM17.9 juta hasil sumbangan orang ramai untuk rakyat Palestin.

Perkara itu diumumkan Mizz Nina menerusi akuan Instagramnya. Sangat bersyukur dengan hasil kutipan dikumpul, Mizz Nina tidak menyangka mendapat sokongan luar biasa. Hasil sumbangan itu juga dimaklumkan diguna secara berperingkat untuk disalur kepada klinik Malaysia Al-Aqsa, khidmat guaman di Sheikh Jarrah, kafalah keluarga miskin di Baitulmaqdis dan bantuan kecemasan Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Oktober 2022 @ 2:01 PM